Date: Rabu, Oktober 18, 2023

Pada 2-6 Oktober 2023 yang lalu, telah berlangsung Kongres Jalan Sedunia ke 27 di Prague, Republik Czech anjuran Pertubuhan Jalan Sedunia (World Road Association / PIARC) dan Czech Road Society. Kongres ini merupakan olimpik kepada persidangan jalan di peringkat antarabangsa dengan penyertaan seramai 3500 peserta dari 115 negara. Turut dianggarkan sebanyak 500 kertas kerja dibentangkan sepanjang sesi kongres. JKR Malaysia sebagai ahli wakil negara dalam pertubuhan ini sejak dari 1989 turut hadir menyertai kongres yang diadakan setiap 4 tahun sekali ini. JKR Malaysia diwakili oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Datuk Ir. Hj. Ahmad Redza bin Ghulam Rasool, yang juga merupakan Delegasi Pertama ke PIARC, YBhg. Dato' Ir. Ibrahim bin Esa, Pengarah Kanan Cawangan Jalan yang juga merupakan ahli majlis PIARC, Ir Hamzah bin Hashim, Jurutera Awam Penguasa Cawangan Jalan, juga sebagai ahli majlis PIARC dan juga ketua sekretariat PIARC Malaysia. Terdapat 2 orang pembentang kertas kerja daripada JKR Malaysia yang terpilih untuk membentangkan kertas kerja di kongres ini iaitu, Ir. Ts. Hidra Hasbee bin Jamil dari Cawangan Senggara Fasiliti Jalan dan Dr Azwan Ezzany bin Azmi juga dari Cawangan Senggara Fasiliti Jalan.

Secara kelaziman, mesyuarat Komiti Kebangsaan PIARC dan Ahli Majlis PIARC diadakan sebelum kongres bermula bagi menentukan hala tuju PIARC untuk 4 tahun akan datang. Mesyuarat Komiti Kebangsaan diadakan pada 29 September 2023 dan dihadiri oleh YBhg. Dato' Ir. Ibrahim bin Esa dan Ir Hamzah bin Hashim. Pada mesyuarat ini, segala aktiviti berkaitan kejuruteraan jalan raya bagi setiap komiti kebangsaan dilaporkan dan dibuat rumusan. Malaysia juga telah melaporkan aktiviti berkaitan kejuruteraan jalan yang dianjurkan oleh JKR Malaysia berserta Pertubuhan Kejuruteraan Jalan Malaysia (REAM) sepanjang 4 tahun lepas seperti Persidangan Jalanraya Se Malaysia ke 11 pada 2022 (11th Malaysian Road Conference and Exhibition), Persidangan Antarabangsa Pavemen Kuala Lumpur 2023 (Kuala Lumpur International Pavement Seminar – KLIPS) dan lain-lain lagi.

Pada 30 September 2023 pula telah berlangsung Mesyuarat Ahli Majlis PIARC yang dihadiri oleh YBhg. Datuk Ir. Hj. Ahmad Redza bin Ghulam Rasool, yang juga merupakan Delegasi Pertama ke PIARC, YBhg. Dato' Ir. Ibrahim bin Esa, Ir Hamzah bin Hashim. Pada mesyuarat ahli majlis ini, hala tuju dan pelan strategik PIARC untuk 4 tahun akan datang telah dibincangkan dan diluluskan untuk dilaksanakan oleh negara anggota. Hala tuju ini kemudiannya diterjemah kepada penubuhan jawatankuasa teknikal, jawatankuasa pemandu, kumpulan kerja khas yang berkaitan topik-topik terkini berkaitan kejuruteraan jalan sedunia. Turut dibuat keputusan ialah pembidaan tuan rumah kongres jalan sedunia ke 28. Bandar Vancouver, Kanada mendapat undian tertinggi daripada ahli majlis, diikuti oleh Bali, Indonesia dan Beijing, China seterusnya Bandar Vancouver mendapat penghormatan untuk menganjurkan kongres ini pada tahun 2027.

Kongres Jalan Sedunia ke 27 bermula pada 2 Oktober 2023 di Pusat Kongres Prague.  Majlis perasmian kongres dilaksanakan oleh Perdana Menteri Republik Czech, Petr Fiala diiringi oleh Menteri Pengangkutan Republik Czech, Martin Kupka. Kongres ini turut menampilkan Sesi Menteri-Menteri yang berkongsi pengalaman tentang keselamatan jalan dan inisiatif berbasikal. Seramai 40 orang wakil negara bertaraf menteri telah hadir dan berkongsi pentas untuk berbicara tentang 2 topik tersebut. YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya juga telah hadir dan berkongsi tentang inisiatif Malaysia untuk keselamatan jalanraya serta MyJalan yang telah dilancarkan pada 23 Ogos yang lalu.

Pada setiap penganjuran kongres bermula daripada 2007, Malaysia menerusi Pertubuhan Kejuruteraan Jalanraya Malaysia atau REAM bersama pemain-pemain industri jalanraya Malaysia telah berganding bahu untuk menganjurkan Pavilion Malaysia di kawasan pameran. Pavilion Malaysia pada kali ini menampilkan sebanyak 24 syarikat Malaysia terdiri daripada kontraktor, pembekal, perunding dan konsesi mempamerkan produk kejuruteraan jalanraya Malaysia. Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah sudi merasmikan Pavilion Malaysia dan menyampaikan sijil penghargaan kepada syarikat-syarikat yang terlibat.

Terdapat dua (2) kertas kerja teknikal daripada Jabatan Kerja Raya, Malaysia telah terpilih di kongres iaitu Managing Safety Aspects of Rural Roads yang disediakan oleh Dr. Azwan Ezanny Bin Azmi dan An Analysis On The Effect Of Geometric Elements On Traffic Accidents At Curves yang disediakan oleh Ir. Ts. Hidra Hasbee Bin Jamil. Terdapat juga mesyuarat penutup Jawatankuasa Teknikal yang dihadiri oleh pegawai-pegawai dari JKR Malaysia iaitu Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Aset, Pavemen, Jambatan dan juga Pengurusan Bencana. Penyertaan sebagai pembentang kertas kerja dan ahli jawatankuasa teknikal ini membuktikan mutu kejuruteraan jalanraya Malaysia adalah setaraf di peringkat antarabangsa. Selain itu, beberapa siri lawatan teknikal turut disediakan oleh penganjur kongres untuk berkongsi tentang kejuruteraan jalanraya Republik Czech kepada peserta.

Kongres Jalan Sedunia merupakan kemuncak kepada ahli-ahli jawatankuasa teknikal, jawatankuasa pemandu, kumpulan kerja khas yang berkaitan topik-topik  kejuruteraan jalan PIARC dan jurutera-jurutera jalan di seluruh dunia. Dianggarkan sebanyak 50 buah garis panduan, laporan dan dokumen-dokumen lain berkaitan kejuruteraan jalan telah dihasilkan sepanjang 4 tahun sebelum ini untuk panduan kepada negara-negara bagi menambahbaik aspek kejuruteraan jalan raya. Malaysia menerusi JKR Malaysia banyak merebut manfaat daripada keanggotaan dalam PIARC dengan menyertai jawatankuasa-jawatankuasa PIARC serta bersama-sama menghasilkan dokumen-dokumen teknikal tersebut. JKR Malaysia juga secara tidak langsung menimba pengetahuan daripada negara-negara lain tentang amalan terbaik kejuruteraan jalan.  Oleh yang demikian, JKR Malaysia akan terus aktif dalam pertubuhan bertaraf dunia ini demi kecemerlangan kejuruteraan jalan raya negara.

prague

prague

prague

prague

prague

prague

prague

prague

prague

prague

prague