Date: Selasa, April 18, 2023

PERUTUSAN HARI RAYA AIDIL FITRI

YBHG. DATO' IR. AHMAD REDZA BIN GHULAM RASOOL

1444H/ 2023

 

Bismillahirrahmanirrahim,

Alhamdulillahi Rabbil Alamin Wabihi Nasta’in,

Allahumma Solli A’la Saidina Muhammad wa A’la Ali Saidina Muhammad

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Malaysia MADANI,

Segala pujian dan syukur ke hadrat Allah S.W.T atas kurniaan dan RahmatNya, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dan keluarga serta para sahabat Baginda yang terpuji.

Alhamdulillah, dengan izinNya jua kita masih diberi peluang untuk mengecapi kemanisan Ramadan Al-Mubarak, bulan yang penuh rahmat dan barakah. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kerana masih dipanjangkan usia dan dikurniakan kesihatan yang baik untuk menyempurnakan ibadah puasa, memperbaiki amalan, meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT di samping dapat terus berkhidmat dan berJasa Kepada Rakyat. Mudah-mudahan Allah SWT menerima semua amalan dan khidmat kita di sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.

Syawal bakal menjelma tiba tatkala Ramadan Al-Mubarak, bulan yang amat besar ertinya buat seluruh umat Islam sekali lagi telah sampai ke penghujungnya. Dalam kemeriahan menyambut Hari Raya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia sentiasa berusaha agar semua laluan JKR Malaysia adalah selamat dan selesa untuk perjalanan pengguna jalan raya pulang ke kampung halaman.

Sepanjang musim perayaan ini, JKR Malaysia telah menyediakan laluan alternatif di mana perlu untuk mengurangkan kesesakan trafik agar pengguna jalan raya dapat tiba dengan selamat ke destinasi dan berjumpa dengan sanak saudara tercinta, seterusnya kembali bertugas selepas cuti berhari raya.

Oleh itu, saya ingin berpesan buat semua pengguna jalan raya untuk merancang perjalanan sebaiknya, serta patuhilah had laju dan arahan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada warga Kementerian Kerja Raya dan warga Jabatan Kerja Raya khasnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya. Sempena bulan yang mulia ini, marilah kita bermaaf-maafan dan merapatkan ikatan ukhuwah sesama kita.

Allah SWT berfirman:

وَاتَّقُوا اللَّـهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

MaksudnyaDan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.  {Surah al-Nisa’ (1)}

Justeru, bersama-samalah kita menjaga dan menghargai ikatan persaudaraan dan silaturrahim. Pandulah dengan cermat, biar lambat asal selamat agar Syawal yang diraikan bertambah riang gembira.

Agensi teknikal menerajui pembinaan,

Infrastruktur negara menjadi keutamaan,

Ampun dipinta salam lebaran,

Meraikan aidilfitri Bulan Kemenangan

 

Salam Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.