Date: Rabu, Jun 29, 2016

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
dan Salam Sejahtera,


Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan kepada Allah SWT Tuhan Yang Maha Berkuasa kerana dengan limpah rahmat, kuasa dan izinNya jua kita masih diberi peluang untuk sekali lagi beribadat dan mengerjakan amal di bulan Ramadhan Al-Mubarak yang penuh berkat dan baru sahaja melabuhkan tirainya.

Syukur. Kita juga diberikan peluang sekali lagi untuk bersama-sama menyambut ketibaan 1 Syawal, yakni Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi.  Hari Raya Aidilfitri disambut sebagai hari kemenangan kerana kejayaan kita mengerjakan ibadah puasa selama sebulan Ramadhan dengan menahan lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan dan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada pengurusan tertinggi Kementerian Kerja Raya, terutamanya kepada YB Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof dan YBhg Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Dato’ Sri Zohari bin Haji Akob kerana telah memberikan kepercayaan untuk saya menanggung tugas jawatan Ketua Pengarah Kerja Raya, bermula pada 9 Jun 2016 sehingga jawatan tersebut diisi secara hakiki.  

Dalam mendepani cabaran menuju Wawasan 2020, adalah amat penting bagi jabatan untuk menyegerakan penjenamaan semula JKR (rebranding), dalam usaha memastikan perkhidmatan dan produk yang dihasilkan jabatan lebih berkualiti dan berinovatif serta yang paling utama, menepati tempoh masa yang ditetapkan. Jabatan perlu akur kepada perubahan dan keperluan semasa serta menghayati semula nilai jenama dan falsafah operasi jabatan.

Usaha ini memerlukan kerjasama, komitmen dan sokongan daripada kedua-kedua belah pihak, di peringkat pengurusan dan warga kerja itu sendiri. Rebranding tidak hanya memfokuskan kepada produk dan perkhidmatan jabatan semata-mata, malahan ia juga mencerminkan sikap dan sifat seluruh warga jabatan.

Kita perlu menyemai azam untuk memahami keperluan pelanggan yang kini lebih dinamik serta membentuk hubungan yang bersepadu di antara semua agensi pelanggan. Seluruh warga jabatan juga perlu bersiap siaga dengan meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang masing-masing di samping softskill, bagi membentuk kompetensi, profesionalisme dan kebolehan memenangi keyakinan pelanggan.

Saya percaya dengan pelaksanaan rebranding ini, pastinya akan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem penyampaian kita. Jabatan perlu kekal relevan sebagai agensi pelaksana dan pusat rujukan teknikal negara yang disegani dan dihormati.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga kerja Jabatan Kerja Raya khasnya dan rakyat Malaysia secara amnya. Di Aidilfitri inilah merupakan kesempatan terbaik untuk kita saling melupakan semua perselisihan dan persengketaan, seterusnya mengukuhkan kerjasama di antara individu, keluarga, jabatan dan juga agensi.

Jika ada langkah membekas lara
Ada kata merangkai dusta
Ada tingkah menoreh luka
Maaf zahir dan batin pohon diminta.


Salam Aidilfitri. Berhati-hati semasa memandu, semoga kita semua selamat sampai ke destinasi yang ditujui. Ingatlah orang yang tersayang.


Wabillahitaufik Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Dato'  Ir. Dr. Roslan Md Taha
TKPKR (Sektor Infra) Menanggung Tugas KPKR