Date: Sabtu, Disember 31, 2016

Assalamualaikum, Salam Sejahtera & Salam 1JKR,

1.    Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan redha dan izinNya jua kita masih diberi ruang dan peluang untuk meneruskan perjalanan hidup di lembaran baharu, 2017. Memasuki gerbang kehidupan di tahun baru ini, besarlah harapan saya agar kita semua sudah mempunyai perancangan dan agenda bagi memastikan jabatan kita akan terus kekal sebagai peneraju dan penasihat dalam bidang teknikal untuk kerajaan dan negara.

Pengiktirafan Menara Kerja Raya

2.    Mengimbas kembali tahun 2016 yang lalu, pelbagai kejayaan dan pengiktirafan yang telah diraih oleh Jabatan Kerja Raya, yang paling manis adalah ikon kebanggaan kita sendiri iaitu Menara Kerja Raya. Seperti yang kita sedia maklum, menara ini telah menerima Pensijilan Green Building Index (GBI) Platinum dan berjaya memenangi tempat kedua (2) bagi kategori Green Building Awards (Large Building Category) sempena Asean Energy Award. Menara Kerja Raya juga terpilih sebagai pemenang bagi kategori Public Sector Award anjuran FIABCI Malaysia Property Award 2016  serta telah diiktiraf sebagai Menara Baharu Ke Sepuluh Terbaik Dunia oleh Business Insider, United Kingdom.

3.    Baru-baru ini juga, menara ini telah berjaya diiktiraf oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri (MAMPU) dengan sijil Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) kategori CEMERLANG. Sesungguhnya kejayaan dan pengiktirafan ini telah menaikkan nama jabatan dengan begitu signifikan. Tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga kerja JKR.

Detik Bersejarah; Perasmian Menara Kerja Raya oleh Perdana Menteri Malaysia

4.    Tarikh 7 Disember 2016 juga mencatat satu sejarah besar kepada Jabatan Kerja Raya apabila YAB Perdana Menteri Malaysia telah sudi menyempurnakan Majlis Perasmian Menara Kerja Raya. YAB Perdana Menteri turut menyatakan harapan beliau agar JKR menjadi peneraju bangunan hijau kerajaan serta agensi teknikal utama negara seterusnya menjadi agen perubahan negara dengan penggunaan teknologi yang kreatif dan inovatif. Beliau juga telah menyatakan bahawa JKR adalah 'the unsung heroes' yang merupakan tonggak kepada agenda pembangunan negara.

Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Jabatan

5.    Melangkah ke tahun 2017, pelbagai rangka kerja dan program yang perlu dilaksanakan sepertimana yang telah dirancang. Antara KPI JKR yang perlu dicapai pada tahun ini adalah:

i.        Sekurang-kurangnya 50% dari jumlah projek siap mestilah disiapkan secara 3 dalam 1, iaitu; penyerahan Sijil Perakuan Siap Kerja, Lukisan Siap Terbina (as-built drawing) dan juga Sijil Perakuan Muktamad (Statement of Final Account) kepada pelanggan.

ii.        Tempoh bayaran kemajuan sama ada bayaran tuntutan elaun, kemudahan dan bayaran kepada Pegawai Pengurusan dan Profesional, Kumpulan Sokongan dan juga tuntutan bayaran kontraktor, pembekal dan sebagainya hendaklah di dalam tempoh 7 hari.

iii.        Bilangan projek yang mempunyai EOT tidak melebihi 30%

6.    Kita hendaklah melaksanakan kerja dan tugasan yang diberikan dengan terbaik dan berintegriti, iaitu; mengikut kontrak, spesifikasi dan juga mematuhi SOP yang telah ditetapkan, mendokumentasikan segala proses kerja dan sebaik-baiknya setiap keputusan atau tindakan yang diputuskan dibuat secara bersama di dalam jawatankuasa atau mesyuarat. Mana-mana kerja yang dilaksanakan tidak mengikut spesifikasi hendaklah diberi amaran secara bertulis dan rekodkan mengikut Sistem Pengurusan Bersepadu (SPB) JKR.

Pre-Approved Plan (PAP)

7.    Mulai tahun ini juga, melalui Garis Panduan Penyediaan Rancangan Malaysia Kesebelas, 2016-2020: Prospek Ekonomi, Teras Strategik Dan Penyediaan Projek Pembangunan yang telah dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (UPE) telah menetapkan keperluan untuk semua Agensi Kerajaan menggunakan Pre-Approved Plan (PAP) bagi 17 kategori bangunan Kerajaan yang telah disediakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk projek RMKe-11. Syarat ini adalah mandatori untuk dipatuhi oleh semua Agensi Kerajaan. Arahan terkini oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada 16 Disember 2016 juga telah mewajibkan supaya projek-projek yang termasuk di dalam 17 kategori tersebut wajib dilaksanakan oleh JKR tanpa sebarang pengecualian.

Industrialised Building System (IBS)

8.    1Pekeliling Perbendaharaan (1PP) merupakan satu dokumen versi baharu yang mengandungi pemurnian semua pekeliling, surat pekeliling, pekeliling kontrak dan surat arahan yang sedia.  1PP di bawah Perolehan Kerajaan 1(PK1) telah menetapkan agar semua kementerian/agensi memastikan semua projek kerajaan hendaklah dilaksanakan menggunakan kaedah IBS dan mana-mana pengecualian ke atas 1PP tersebut hendaklah diperolehi terlebih dahulu secara rasmi daripada Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR) Malaysia. Pengecualian cuma dibenarkan untuk projek berharga kurang daripada RM 10 juta atau kerja-kerja ubahsuai kepada struktur sedia ada dan tidak melibatkan pembinaan baru. 

Strategi Lautan Biru Nasional (NBOS) Bersama Kementerian Pendidikan Malaysia

9.    JKR juga telah melaksanakan kerjasama Strategi Lautan Biru Nasional (NBOS) dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi projek sekolah daif yang akan menggunapakai IBS JKR secara ‘open system’. Saya berharap strategi pelaksanaan sebegini diteruskan kepada projek-projek lain yang pastinya akan mengangkat martabat jabatan sebagai badan teknikal kerajaan yang disegani.

Penggunaan Bahan Binaan Mesra Alam dan Berteknologi Terkini

10. Bagi menyahut seruan YB Menteri Kerja Raya, penggunaan bahan binaan mesra alam dan berteknologi terkini perlu giat dilaksanakan. Sebagai contoh, penggunaan Ultra-High Performance 'Ductile' Concrete (UHPdC) seperti ‘Dura Concrete’ untuk jambatan yang menyeberangi Sungai Perak di Kampung Rhui, Grik, Perak. Penggunaan bahan binaan ini dapat memberikan reka bentuk yang mampan dan rendah kos dengan mengurangkan jumlah tiang, sekaligus mengurangkan kos penyenggaraan jambatan. Baru-baru ini juga, ujian penggunaan ‘road roller barrier’ telah dilaksanakan di Jalan Lapangan Terbang Subang menuju ke Lebuhraya Persekutuan bagi tujuan mengurangkan kemalangan jiwa. Ia akan diguna pakai jika didapati berkesan dan akan dipasang di Jalan Persekutuan dan lebuhraya.

Libat Urus Dengan Stakeholders

11. Melangkah ke tahun 2017, dalam usaha memantapkan bisnes teras jabatan, saya menyarankan agar pada tahun ini libat urus (engagement) dengan semua stakeholders ditingkatkan, termasuklah kementerian pelanggan, pihak utiliti dan orang ramai. Melihat kepada arus perkembangan media sosial masa kini, warga JKR perlu proaktif dan extrovert dalam menguar-uarkan aktiviti JKR di media sosial JKR seperti Facebook, Twitter dan portal jabatan. Ini membantu jabatan kita lebih dikenali seterusnya boleh memberi kefahaman kepada orang ramai tentang peranan jabatan.

Aktiviti Sosial Warga Kerja JKR

12. Program dan aktiviti sosial bersama warga kerja JKR seperti team building perlu diperbanyakkan kerana boleh mengukuh dan mengeratkan lagi hubungan di kalangan warga kerja. Walaupun dengan kekangan kewangan, kita haruslah kreatif dalam pelaksanaan program dengan berbelanja seoptimum mungkin dengan impak program yang maksimum.

Musibah Banjir

13. Awal tahun ini, negara kita telah disambut dengan ancaman banjir di negeri-negeri pantai timur yang melibatkan banyak jalan dan laluan ditutup. Menurut YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, negara perlu bersedia menghadapi  banjir di lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak yang dijangka  berlaku dalam tempoh Januari sehingga Mac. Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) Ibu Pejabat JKR juga telah mula memantau situasi terkini jalan-jalan yang dilanda banjir. Saya yakin dan percaya warga kerja JKR sama ada di ibu pejabat, negeri dan daerah sentiasa bersiap-siaga di kala berhadapan dengan situasi sebegini.

Harapan

14. Marilah kita  menilai, memperhalusi dan memperbaharui azam, hala tuju, visi dan wawasan kita dengan bekerja sebagai satu pasukan dengan semangat yang jitu. Jadilah warga JKR yang berintegriti, berinovasi, berproduktiviti tinggi demi kecemerlangan jabatan.  Sekali lagi, terima kasih yang tidak terhingga untuk seluruh warga JKR di atas khidmat bakti, pengorbanan dan daya usaha yang dicurahkan untuk jabatan. Semoga tahun baharu ini bakal mewarnai kehidupan kita dengan aura positif. Selamat Tahun Baharu 2017 saya nukilkan kepada seluruh warga Jabatan Kerja Raya.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabaratuh dan Terima Kasih.