Date: Rabu, Januari 10, 2018

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera, Salam Negaraku & Salam 1JKR,

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2018 kepada semua rakyat Malaysia, khususnya warga Jabatan Kerja Raya (JKR).

Bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan Izin dan RahmatNya jua kita masih diberi kesempatan dan kesihatan yang berpanjangan bagi meneruskan perjalanan hidup di tahun baharu, 2018. Alhamdulillah, tahun 2017 telah melabuhkan tirainya dan kita layari dengan penuh cemerlang dan jayanya. Syabas dan setinggi-tinggi ucapan terima kasih saya ucapkan kepada Pengarah-Pengarah Cawangan, Pengarah-Pengarah Negeri, Pengarah-Pengarah Bahagian, Jurutera-Jurutera Daerah dan seluruh warga kerja Jabatan Kerja Raya di atas segala penat lelah, kerahan keringat, pengorbanan serta dedikasi yang dicurahkan sepanjang mengharungi tahun 2017.

Melangkah masuk ke gerbang 2018, pastinya cabaran lebih getir bakal kita lalui, dan ia menuntut komitmen padu daripada kita semua. Saya yakin kita telah mengkaji, meneliti serta menganalisis segala impak dan keberhasilan yang telah dicapai pada tahun 2017 sebagai “lesson learnt” untuk mengharungi tahun 2018. Justeru itu, gerak kerja kita pada tahun ini haruslah diperkukuhkan lagi bagi memastikan jabatan tetap unggul dalam membangunkan negara tercinta dan dikenali sebagai agensi pakar dalam bidang teknikal.

Alhamdulillah, atas komitmen warga JKR, kita berjaya mencapai sasaran KPI sepertimana yang dirancang awal tahun. Mengimbas kembali prestasi jabatan bagi tahun 2017, berikut dilampirkan infografik pencapaian prestasi jabatan untuk makluman warga JKR.

Mengimbau kembali tahun 2017 yang lalu, pelbagai kejayaan yang dilakar oleh Jabatan Kerja Raya, terutamanya meliputi projek-projek significant dan berimpak tinggi, antaranya kejayaan menyiapkan projek Jalan Pintas Rawang (Rawang by Pass). Melaksanakan pembinaan projek sekolah daif menggunakan kaedah IBS dan pembinaan lebuhraya Kota Baharu ke Kuala Krai, Kelantan yang pertama kalinya menggunakan teknologi baru CupLump Modified Asphalt (CMA).

Selain itu, JKR juga telah mula menggunakan teknologi perancangan dan pembinaan terbaharu dalam membangunkan projek-projek yang dilaksanakan.  Contohnya, Projek Hospital Parit Buntar yang mengguna pakai perisian komputer Building Information Modeling (BIM), bermula dari proses perancangan, reka bentuk, pembinaan sehinggalah kepada pengurusan bangunan.

Untuk perkongsian bersama juga, beberapa inisiatif penambahbaikan pelaksanaan projek telah digariskan untuk memastikan JKR dapat memainkan peranan yang lebih berkesan di dalam pelaksanaan projek-projek. Antaranya adalah pengwujudan Inisiatif 3 Dalam 1 iaitu Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC), Penyata Akaun Muktamad (SOFA) dan Lukisan Siap Bina (As-Built Drawing) disediakan dan diserahkan kepada pelanggan pada masa yang sama. Selain itu, jabatan juga berusaha melaksanakan program penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bersekali dengan dokumen kontrak. Ini bagi mengelakkan kelewatan dalam menandatangani dokumen kontrak seterusnya memudahkan pentadbiran kontrak dan membantu proses pembayaran kewangan.

Dalam usaha memperkasakan lagi sistem penyampaian jabatan, saya menyeru agar kita bekerja sebagai satu keluarga, ibarat peribahasa yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing. Bersamalah kita meningkatkan imej jabatan dengan memperkukuhkan lagi hubungan bersama pemimpin setempat, kerajaan negeri dan ibu pejabat agar “keberadaan kita sentiasa dirasai”.

Walau dalam kesibukan menggalas tanggungjawab dan tugas yang diamanahkan, Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) jangan kita lupakan.  Dekatilah masyarakat melalui pendekatan CSR agar dapat mengeratkan lagi hubungan warga JKR dengan masyarakat setempat. Contohnya, pembersihan tanah perkuburan, sesi lawatan ke sekolah dan seumpamanya dalam usaha merakyatkan JKR.

Tahun 2017 juga menyaksikan tahun kejayaan JKR di arena antarabangsa dan tempatan serta memperolehi pelbagai pengiktirafan dari dalam dan luar negara. Antaranya:
i.          Jabatan berjaya meraih 12 pingat dalam pameran 28th International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2017 dengan lima (5) produk memenangi pingat emas dan tujuh (7) produk pingat perak.
ii.         JKR juga telah diiktiraf dan dianugerahkan 'MINO Best Project Award 2017', kategori 'high volume road' untuk Projek 'Central Spine Road (CSR)' Pakej 3, bersempena 15th Road Engineering Association Of Asia And Australasia (REAAA) Conference 2017 Bali, Indonesia.
iii.        Menara Kerja Raya telah berjaya merangkul 2 anugerah iaitu ‘Green Construction Award’ dan ‘The Best Project Award (Building Project-Major Category)’ di ‘The Malaysian Construction Industry Excellence MCIEA 2017'.

Segala pencapaian dan kejayaan yang dikecapi oleh JKR bagi tahun 2017 adalah hasil usaha, komitmen dan sumbangan daripada seluruh warga kerja JKR. Justeru itu, dalam meniti lembaran 2018 adalah perlu bagi kita semua untuk berganding bahu dan saling bersinergi dalam mengharungi cabaran agar khidmat kepakaran kita diiktiraf dan diakui. Warga kerja juga harus proaktif memperkasa penyampaian perkhidmatan untuk mewujudkan kolaborasi yang lebih berkesan serta kecemerlangan penyampaian projek wajib menjadi fokus utama pada tahun ini. Semoga tahun baharu ini bakal mewarnai kehidupan kita dengan aura positif. Selamat Tahun Baharu 2018 saya nukilkan kepada seluruh warga Jabatan Kerja Raya.

“Together We Deliver”

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Terima kasih.