Date: Jumaat, Januari 1, 2016

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, salam sejahtera dan Salam Sehati Sejiwa..

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2016 kepada seluruh warga Jabatan Kerja Raya (JKR). Semoga kedatangan tahun baru ini, dapat kita bersama-sama memperbaharui iltizam dan menyuntik semangat baru bagi meningkatkan lagi budaya kerja cemerlang dan kualiti perkhidmatan yang tinggi demi menjayakan visi dan misi organisasi kita.

Mengimbas kembali prestasi jabatan, sehingga 30 November 2015, JKR telah menerima peruntukan daripada kementerian pelanggan sebanyak RM31.236 bilion bagi melaksanakan 5,510 projek dalam RMKe-10. JKR telah menyiapkan 4,707 (85.4%) daripada 5,510 projek berkenaan. Baki sebanyak 419 projek (7.6%) masih dalam peringkat pra-pembinaan manakala 384 projek (7.0%) dalam peringkat pembinaan. Saya berharap kita berupaya menyiapkan kesemua baki projek dengan cemerlang, selaras dengan tema pertama Pelan Strategik JKR 2012-2015, iaitu Kecemerlangan Penyampaian Projek.

Seterusnya, inisiatif penambahbaikan pelaksanaan projek telah digariskan dalam memastikan JKR dapat memainkan peranan yang lebih berkesan dalam pelaksanaan RMKe-11. Pelbagai inisiatif telah pun digariskan untuk pelaksanaan di peringkat Agensi Pusat dan di peringkat JKR. Dalam masa yang sama, saya mengharapkan agar semua warga JKR sudah bersedia dengan Kerangka Strategik 2016-2020 yang menggaris kepada hala tuju JKR bagi mencapai misi negara untuk menjadikan Malaysia sebagai maju menjelang tahun 2020.

Di samping itu, tahun 2015 menyaksikan keperihatinan JKR terhadap peningkatan prestasi kakitangan dengan lengkapnya model kompetensi bagi skim kejuruteraan, ukur bahan dan arkitek yang meliputi golongan profesional dan sokongan. Dengan ini diharap jabatan akan menjadi lebih mapan dan kompeten selaras dengan hala tuju kerajaan dalam industri pembinaan negara. Tidak dilupakan juga kejayaan warga kita yang telah mengharumkan nama JKR dalam pelbagai bidang di peringkat negeri, negara dan antarabangsa pada tahun 2015. Saya dan pastinya seluruh warga jabatan berasa amat bangga dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada mereka.

Dalam menghadapi kemungkinan bencana banjir pada ketika ini, warga JKR perlu sentiasa bersiap siaga dan sentiasa proaktif dalam bertindak. Sejak awal Oktober 2015, Bilik Gerakan Bencana (BGB) JKR telah memulakan operasi bagi memastikan segala maklumat dan pengurusan bencana seluruh negara dapat diuruskan dengan lebih efisen dan teratur. Saya mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih di atas komitmen padu ini memandangkan BGB sudah menjadi tumpuan di peringkat kementerian dan keselamatan nasional.

Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa agenda utama kita di tahun 2016 ialah merentas semua halangan dan cabaran untuk kita berkembang maju. Dalam erti kata yang lain, kita perlu beroperasi dalam keadaan di mana sumber-sumber adalah terhad (scarcity of resources) dengan ‘doing more with less’. JKR juga perlu bertindak lebih agresif dengan memperkasa penyampaian perkhidmatan yang mencari peluang untuk mewujudkan sinergi yang lebih berkesan. Kecemerlangan penyampaian projek wajib menjadi fokus utama. Pengkoporatan dan peningkatan imej perlu dilaksanakan dengan lebih efektif. Inovasi perlu ditingkatkan demi kelangsungan jabatan. Kualiti produk dan perkhidmatan haruslah setara dengan sumber dan kompetensi tenaga kerja yang ada. Ambil iktibar dan pengajaran dari pengalaman yang lalu dan belajar daripada kesilapan kita.

Selamat maju jaya dan selamat mengekalkan kecemerlangan JKR.

Wassalam dan terima kasih.

YBhg Datuk Ir. Adanan bin Mohamed Hussain
Ketua Pengarah
Jabatan Kerja Raya Malaysia