Date: Rabu, Oktober 4, 2017

Produk inovasi “SCLI Knowledge Management Framework” yang dibangunkan oleh Sr Dr Khairil Hizar Md Khuzaimah, Juruukur Bahan Kanan di Unit Enterprise Content and Knowledge Management, CPAB bersama pasukan penyelidik UiTM telah berjaya meraih kemenangan berganda di Pertandingan Rekacipta Invention, Innovation & Design Exposition (IIDEX 2017) yang berlangsung dari 25 hingga 29 September di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.

“SCLI Knowledge Management Framework” telah dipilih selaku pemenang Tempat Kedua (Silver Award) IIDEX 2017; Product Pitching (The Pitch) yang membawa hadiah wang tunai sebanyak RM750.00, sebuah trofi dan sijil. Anugerah telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah. Di samping itu, rangka kerja inovasi tersebut turut menerima anugerah Silver Medal bagi kategori inovasi IIDEX 2017.

Sebanyak 740 buah produk rekacipta dan inovasi yang dihasilkan oleh warga akademik dari pelbagai institusi pengajian tinggi seluruh negara telah mengambil bahagian di dalam pertandingan rekacipta kali ini. Setiap produk telah dinilai dengan teliti berdasarkan kepada lima aspek utama iaitu Originality of the Innovation, Applicability of the Innovation, Commercial Potential and Propose Business Model, Presentation and Demonstration dan Academic and Intellectual Property Recognition.

Rangka kerja yang didaftarkan sebagai Intellectual Property Right ini merupakan sebahagian daripada kajian penyelidikan PhD Sr Dr Kharil Hizar di bawah seliaan Prof Madya Sr Dr Padzil@Fadzil Hassan (penyelia utama) dan Prof Madya Dr. Roshana Takim (penyelia kedua) mengenai pelaksanaan inisiatif Pengurusan Pengetahuan bagi organisasi sektor awam yang terlibat dengan industri pembinaan. 

* SCLI – Strategy and Governance, Community, Learning and Innovation