Date: Jumaat, November 22, 2024

Pada 14 November 2024 (Khamis), Program Aspirasi AKRAB JKR 2024 yang bertemakan "Bersama Menggapai Kesejahteraan" telah diadakan bertempat di Aras Plaza, Blok G, Menara Kerja Raya.  Program ini merupakan kerjasama antara Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK) dan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) JKR Malaysia. Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Ir. Ts. Haji Masri bin Baharuddin, Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat ,CDPK.

Program ini merupakan penjenamaan semula Hari AKRAB JKR yang telah diadakan pada tahun-tahun sebelum ini. Perkataan ‘Aspirasi’ membawa maksud keazaman dan usaha dalam menjadikan AKRAB sebagai perantara untuk mencapai matlamat kesejahteraan bagi penjawat awam khususnya di JKR.

Program bertemakan ’Bersama Menggapai Kesejahteraan’ ini membawa maksud ke arah mencapai kenyamanan, kegembiraan atau emosi positif yang membawa kepada kesejahteraan dan kehidupan yang lebih baik selaras dengan nilai teras Malaysia MADANI

Antara aktiviti – aktiviti yang diadakan adalah:

  1. Ceramah motivasi bertajuk “Penjawat Awam: Menggilap Kaca Jadi Permata” yang disampaikan oleh Puan Jaya Nisha A/P Gopalkrishnan, Pegawai Psikologi Kementerian Kerja Raya
  2. Slot interaksi bersama Ahli AKRAB JKR Malaysia yang disampaikan oleh Pengerusi AKRAB JKR Malaysia En. Fidri bin Ali dan juga En. Ismail bin Hanafi
  3. Aktiviti AKRAB seperti Art Therapy, DASS, Parenting Style, Optical Illusion, Man in The Rain dan Cats

YBhg. Dato’ Ir. Ts. Pengarah CDPK dalam ucapannya telah menyatakan harapan agar program ini turut memainkan peranan dalam mewujudkan kolaborasi, hubungan strategik dan jaringan kerjasama profesional di antara peserta dan rakan AKRAB JKR demi meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam secara keseluruhannya.

Semoga program ini menjadi wadah perkongsian ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman dalam pengurusan modal insan melalui pendekatan psikologi untuk dimanfaatkan oleh para peserta.

#IamJKR #KitaJKR #JKRsynergy
#JasaKepadaRakyat