Date: Rabu, Mei 31, 2023

JKR Malaysia telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan program Corporate Social Responsibility (CSR) Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) JKR Malaysia Bersama Komuniti pada 27 Mei 2023 (Sabtu) di Masjid Taman Alam Jaya, Puncak Alam, Selangor. Program ini julung kali diadakan bermula tahun 2023 dan Masjid Taman Alam Jaya merupakan lokasi pertama program sebelum akan diteruskan ke beberapa buah masjid dan sekolah lain dalam tempoh yang terdekat. Bersempena dengan itu, satu perasmian pemasangan “Pelan Laluan Kecemasan” telah diadakan dan dirasmikan oleh YBrs. Tuan Haji Md Naim Bin Haji Yaacob selaku Nazir Masjid bersama – sama dengan YBrs. Lt. Kol. Bersekutu (PA) Ir. Haji Abdul Rani Bin Harun, Ketua Bahagian Pengurusan Kualiti, Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat.

 Objektif program adalah bagi berkongsi khidmat kepakaran teknikal dan pengalaman JKR dalam pematuhan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994) dengan premis-premis terpilih seluruh Malaysia seperti masjid dan sekolah dan seterusnya mengurangkan risiko berlakunya kemalangan serta menjadikan premis – premis tersebut sebagai tempat yang selamat dan sihat. Program ini dilaksanakan secara 2 peringkat melibatkan pemeriksaan aspek KKP di premis tersebut di peringkat pertama dan disusuli dengan taklimat dan perkongsian khidmat kepakaran berkaitan KKP dan cadangan penambahbaikan di peringkat kedua.

Syabas JKR Malaysia atas sikap keprihatinan dan penzahiran tanggungjawab dan khidmat sosial kepada komuniti melalui perkongsian kepakaran selari dengan visi JKR sebagai pemberi perkhidmatan bertaraf dunia dan pusat kecemerlangan dalam bidang pengurusan aset, pengurusan projek serta perkhidmatan kejuruteraan.