JKR Malaysia telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan program Corporate Social Responsibility (CSR) Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) JKR Malaysia bersama Komuniti pada 27 September 2024 (Jumaat) di Masjid Daerah Sultan Idris II, Teluk Intan, Perak. Ini adalah tahun kedua berturut-turut diadakan Program CSR KKP yang bermula pada tahun 2023 dan Masjid Daerah Sultan Idris II, Teluk Intan ini merupakan masjid yang kedua dipilih pada tahun ini selepas Masjid Seberang Takir di Kuala Terengganu.
Bersempena dengan itu, satu sesi penyerahan Pelan Laluan Kecemasan iaitu simbolik kepada Majlis Pelancaran Program CSR KKP JKR Malaysia bersama komuniti ini telah berlangsung dan diserahkan oleh YBhg. Dato' Ir. Ts. Haji Masri Bin Baharuddin, Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK), Ibu Pejabat JKR Malaysia, bersama-sama YBrs. Lt. Kol. Bersekutu (PA) Ir. Haji Abdul Rani Bin Harun, Ketua Bahagian Pengurusan Kualiti, CDPK; YBrs. Ir. Sudin Bin Hasim, Jurutera Daerah Hilir Perak kepada YBrs. Tuan Muhammad Amin Bin Safie, Ketua Penolong Pegawai Daerah selaku Pengerusi Masjid Daerah Sultan Idris II, Teluk Intan, Perak serta YDH Dato’ Haji Meor Redwan Bin Mahayudin, Orang Kaya-Kaya Laksamana Dato’ Orang Besar Jajahan Hilir Perak.
Objektif program ini adalah bagi berkongsi khidmat kepakaran teknikal dan pengalaman JKR dalam pematuhan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994) dengan premis-premis terpilih seluruh Malaysia seperti masjid dan sekolah. Inisiatif ini berupaya mengurangkan kadar risiko berlakunya kemalangan di premis-premis tersebut sekali gus menjadikannya tempat yang selamat dan sihat. Program ini dilaksanakan secara 2 peringkat melibatkan pemeriksaan aspek KKP di premis tersebut dan disusuli dengan taklimat serta perkongsian khidmat kepakaran berkaitan KKP termasuklah cadangan penambahbaikannya.
Syabas JKR Malaysia atas sikap keprihatinan dan penzahiran tanggungjawab dan khidmat sosial kepada komuniti melalui perkongsian kepakaran selari dengan visi JKR sebagai pemberi perkhidmatan bertaraf dunia dan pusat kecemerlangan dalam bidang pengurusan aset, pengurusan projek serta perkhidmatan kejuruteraan.
- 611 bacaan