PUTRAJAYA – Seramai 850 pengunjung terdiri daripada kakitangan awam dan swasta serta penggiat teknologi digital telah hadir memeriahkan program JKR Cyberday 2024 yang telah diadakan pada 20 sehingga 21 November 2024 yang lalu bertempat di Dewan Sri Siantan, Presint 3, Putrajaya.
Program anjuran Cawangan Dasar Pengurusan Korporat, Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) dengan kolaborasi bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Wilayah Persekutuan Putrajaya telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Wira Ir Roslan bin Ismail, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia. Bertemakan “Transformasi Teknologi Ke Arah Kecemerlangan Pendigitalan” program ini antara lain menyokong acara teknikal induk JKR iaitu Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) yang akan diadakan pada tarikh 11 dan 12 Disember di PICCA Convention Centre, Pulau Pinang.
Hadir sama ke program ini adalah Siti Sapura binti Raffee,Pengarah Bahagian Perundingan Digital, JDN mewakili Ketua Pengarah JDN; Ir. Mohd Shahrom bin Ahmad Saman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra); YBhg. Dato’ Ir Ibrahim bin Esa,Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan); Ir Hj Zulkifli bin Abdul Rashad, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar) dan YBhg. Dato’ Ir Ts Hj Masri Bin Baharuddin, Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat.
Program JKR Cyberday 2024 telah berlangsung dengan jayanya selama dua hari ini melibatkan pelbagai pendekatan penyampaian kandungan interaktif antaranya tapak pameran booth oleh 31 pempamer pihak swasta yang aktif dalam bidang teknologi ICT dan kejuruteraan, sesi technology update, beberapa slot bicara teknologi dan kemuncak acara merupakan sesi forum bual bicara menampilkan barisan panel jemputan khas yang membicarakan topik “Manfaat dan Cabaran Pendigitalan Dalam Perkhidmatan Awam”.
YBhg. Datuk Wira Ir Roslan bin Ismail,Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia berkata, penganjuran program JKR Cyber Day 2024 yang diadakan pada tahun ini secara umumnya adalah untuk memberi pendedahan dan pengetahuan berkenaan teknologi terkini berkaitan dunia digital ICT. Dunia digital pada masa kini telah berkembang dengan pesat dan pemahaman tentang teknologi baharu amat penting bagi memastikan kita dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat. Selaras dengan keputusan YAB Perdana Menteri yang telah mewujudkan Kementerian Digital dan penubuhan Jabatan Digital Negara (JDN) di bawahnya, menunjukkan Kerajaan amat komited menyokong agenda pendigitalan negara dalam menuju ke arah pembentukan Negara Digital.
Jabatan Kerja Raya (JKR) juga tidak mahu ketinggalan menyokong aspirasi Kerajaan dalam agenda pendigitalan negara. Sebagai sebuah agensi teknikal utama sektor pembinaan negara yang telah berusia 152 tahun, JKR sentiasa berusaha untuk merencana perancangan holistik bagi penggunaan teknologi digital dalam memperkasakan perkhidmatannya.
Bagi tujuan tersebut, Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) JKR 2021 – 2025 yang menjadi perancangan asas bagi merealisasikan hasrat pendigitalan perkhidmatan JKR telah diperkenalkan. Pelan lima tahun ini disokong dengan pelbagai sistem aplikasi teknologi dalam usaha merealisasikan perancangan dan pengurusan projek pembangunan secara lebih efektif. Antara yang sedang dan telah dibangunkan adalah penggunaan Building Information Modeling (BIM) dalam kerja-kerja merekabentuk, penggunaan Sistem eTender (JET) 3.0 dalam urusan perolehan kontrak, Sistem SKALA 2.0 dalam urusan pemantauan pelaksanaan projek, dan Sistem eBencana bagi penyaluran maklumat bencana kepada orang awam katanya semasa menyempurnakan upacara perasmian Program JKR Cyberday 2024.
Sementara itu, Ir Hj Zulkifli bin Abdul Rashad dalam ucapan majlis penutup pula berkata, program ini telah berjaya mencapai matlamat dan objektifnya dalam memberi pendidikan dan kesedaran berkenaan ancaman baharu luar jangka berkaitan keselamatan siber, meneroka teknologi ICT baru dan pengetahuan yang terkini berkenaan dunia digital. Selain itu, ia telah berjaya menjadi platform jalinan hubungan kerjasama antara penggiat teknologi digital sektor awam dan swasta dalam memastikan cabaran dan impak pendigitalan dapat diperhalusi dan ditangani.
Beliau berharap program ini akan diteruskan dengan penglibatan lebih ramai penggiat bidang ICT agar kesinambungan pendigitalan tidak terhenti dan terus diperkasa. Program ini juga mendapat sokongan dan kerjasama daripada rakan-rakan strategik dalam pembekal bidang perkakasan, perisian sekuriti, rangkaian ICT, rangkaian telekomunikasi, percetakan dan sebagainya.
Walaupun cabaran dalam era pendigitalan adalah nyata dan pelbagai, ia tidak mustahil untuk diatasi dengan perancangan yang baik. Dengan memanfaatkan penggunaan teknologi agar selari dengan perubahan zaman, sektor awam khususnya JKR mampu menjadi contoh yang cemerlang dalam penggunaan teknologi untuk meningkatkan perkhidmatannya kepada rakyat.

- 372 bacaan