Date: Jumaat, Jun 23, 2023

HULU LANGAT, Selangor – 23 Jun 2023 (Jumaat), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia melalui JKR Daerah Hulu Langat telah mengadakan Program Kerja Undi Kelas G1 yang diadakan di Dewan Serbaguna, JKR Hulu Langat. YBrs. Ir. Mohd Zawawi Bin Zakaria, Timbalan Pengarah JKR Negeri Selangor telah hadir untuk merasmikan program tersebut. Turut hadir adalah YBhg. Dato' Masri Bin Baharuddin, Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat.

Seramai 329 kontraktor telah mendaftar dan menyertai sesi cabutan undi pada sesi kali ini. Cabutan kerja undi yang dilaksanakan meliputi 20 kerja undi iaitu:

  1. 10 kerja undi peruntukan MARRIS (RM 500,000.00) ; dan
  2. 10 kerja undi peruntukkan B12 (RM 500,000.00)

Kerja-kerja tersebut adalah melibatkan pembaikan bahu jalan, pembaikan scupper drain, mengecat semula garisan jalan pudar, mencantas dahan pokok serta lain-lain kerja yang berkaitan.

Selain itu, pengamal media turut dijemput hadir sama sebagai pemerhati pada sesi cabutan undi pada kali ini. Satu taklimat ringkas berkaitan proses perolehan kerja-kerja undi telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah JKR Negeri Selangor kepada rakan media sebelum proses pengundian berlangsung. Jemputan kepada media adalah bertujuan untuk melihat secara dekat ketelusan pemilihan kontraktor dalam perolehan kerja jabatan.

Tahniah diucapkan kepada kontraktor yang berjaya dalam pelaksanaan cabutan kerja undi sesi 1/2023 di daerah Hulu Langat. Adalah diharapkan pihak kontraktor yang berjaya dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.