Date: Selasa, Jun 11, 2024

Program lawatan turun padang YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya ke projek Kerja-Kerja Naiktaraf Simpang 3, Jalan Mohammed Salleh – Jalan Penghulu Tuah, WP Labuan telah diadakan pada 7 Jun 2024 (Jumaat) bagi meninjau kemajuan (progress) bagi kerja-kerja naik taraf yang sedang dijalankan. Program turun padang ini turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha,Kementerian Kerja Raya; YBrs. Ir. Hj. Mohd Faizul bin Mohd Ali Hanapiah, Pengarah JKR W.P. Labuan; YBrs. Ir. Rohana binti Yaakub, Jurutera Awam Penguasa Kanan dan Cawangan Jalan, JKR Malaysia.

Projek naik taraf jalan Persekutuan ini bertujuan memberi keselesaan dan meningkatkan keselamatan kepada pengguna jalan raya memandangkan tahap perkhidmatan (Level of Service, LOS) jalan ini adalah pada tahap LOS E dengan peningkatan isipadu trafik yang semakin tinggi.

Projek ini melibatkan kerja-kerja naik taraf persimpangan dan pelebaran jalan raya, pembinaan minor access road, pengalihan utiliti sedia ada dan pemasangan sistem lampu isyarat. Sebanyak tiga (3) sebut harga telah dilaksanakan di bawah kerja ini, di mana satu kerja telah pun siap pada tahun 2023 manakala dua lagi sedang dalam proses pelaksanaan dan dijangka dapat disiapkan sepenuhnya pada Oktober 2024 dengan kos peruntukan sebanyak 1.62 Juta.

Terima kasih kepada KKR kerana telah memperuntukkan sejumlah RM24.55 juta bagi tahun 2024 untuk meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna Jalan Raya Persekutuan di WP Labuan. Peruntukan ini khusus untuk kerja-kerja penyenggaraan jalan, cerun dan jambatan, menaik taraf Kawasan yang sering terdedah kepada kemalangan (Blackspot) serta penyelenggaraan lampu isyarat dan lampu-lampu jalan. Komitmen ini direalisasikan melalui pengeluaran dua puloh enam (26) Arahan Kerja kepada pihak konsesi dan lima belas (15) Perolehan Kerja untuk pelaksanaan segera pada tahun 2024 sehingga semasa.

Seterusnya YB Datuk Seri Menteri Kerja Raya, YBhg. Datuk Seri KSU KKR dan rombongan juga turut berkesempatan melihat demonstrasi pemasangan Carpet Patching oleh pihak BME Borneo Mechanical Engineering Sdn. Bhd di Jalan Pohon Batu, W.P Labuan. Produk ini adalah kaedah berkesan bagi memudahkan pelaksanaan pembaikan pothole di Jalan-Jalan Persekutuan di W.P. Labuan.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Kementerian Kerja Raya; Cawangan Jalan; HODT; Pasukan Projek JKR W.P. Labuan serta pasukan kontraktor yang telah memberikan kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan kelancaran projek ini. Terima kasih juga kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang tempoh pelaksanaan projek ini. Syabas dan tahniah diucapkan.