Date: Jumaat, March 19, 2021

Program Solar Energy Purchasing (SEP) untuk bangunan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah berlangsung dan dilancarkan oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya pada 16hb Mac 2021. Bagi melaksanakan program ini, JKR Malaysia telah berkolaborasi dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta anak syarikatnya GSPARX Sdn. Bhd.

SEP yang berkonsep zero upfront cost dan zero capex  ini mensasarkan pemasangan sistem solar di bangunan KKR, Ibu pejabat JKR Malaysia dan 10 bangunan JKR Elektrik Negeri dengan jumlah kapasiti 1.2 MW. KKR dan JKR Malaysia akan menikmati penjimatan bil elektrik sebanyak RM9.27 juta untuk tempoh 21 tahun dengan penjimatan bil elektrik pada tahun pertama sebanyak hampir RM200,000. Ini adalah merupakan penjimatan segera yang akan dinikmati oleh pihak KKR dan JKR Malaysia tanpa mengeluarkan sebarang kos pemasangan dan kos penyelenggaraan disamping dapat mengurangkan perbelanjaan kos bayaran utiliti bulanan. Di samping itu, dianggarkan jumlah pengurangan pelepasan karbon adalah sebanyak 819 tan CO2 setahun.

Pelaksanaan Program SEP ini juga adalah selaras dengan Skim Pemeteran Tenaga Bersih atau Net Energy Metering (NEM) yang telah diperkenalkan Kerajaan bagi menggalakkan penggunaan Tenaga Boleh Baharu (TBB) di Malaysia disamping menjimatkan bil elektrik pengguna. Sebanyak 100 MW kuota telah diperuntukan untuk pemasangan sistem solar di bangunan-bangunan Kerajaan.

JKR Malaysia telah lebih tujuh belas (17) tahun terlibat dalam teknologi sistem solar bagi projek-projek pembangunan Kerajaan khususnya bagi program Bekalan Elektrik untuk sekolah-sekolah luar bandar di seluruh Malaysia.

Manakala melalui Program SEP ini, ia dilihat sebagai usaha KKR dan JKR Malaysia dalam menyokong Dasar Teknologi Hijau Negara bagi meningkatkan kapasiti Tenaga Boleh Baharu sehingga 20% daripada kapasiti keseluruhan penjanaan tenaga elektrik pada tahun 2025. Secara tidak langsung dapat mengurangkan pelepasan karbon daripada bangunan Kerajaan dan menghasilkan bangunan Kerajaan yang cekap tenaga.

Di samping itu, semua sedia maklum bahawa JKR Malaysia terlibat dalam pembinaan bangunan-bangunan Kerajaan. Justeru, JKR Malaysia juga mensasarkan untuk melibatkan bangunan-bangunan baru ini dengan pemasangan sistem solar melalui program SEP ini. Dianggarkan usaha ini mampu menyumbang sekurang-kurangnya 10% daripada kuota 100 MegaWatt (MW) yang diperuntukkan oleh KeTSA dengan penjimatan dianggarkan sehingga RM70 juta.

Dalam pada masa yang sama, JKR Malaysia sentiasa bersedia untuk membantu dan memberi perkhidmatan teknikal kepada agensi-agensi Kerajaan lain yang berhasrat untuk terlibat dalam program ini. Ini adalah selaras dengan hasrat KKR dan JKR Malaysia untuk menjadi peneraju dan contoh rujukan atau lead by example ke arah penggunaan tenaga bangunan yang lebih cekap dengan penerapan elemen lestari ini. Dengan perlaksanaan yang menyeluruh ke keseluruhan bangunan-bangunan Kerajaan, sebanyak RM600 juta peruntukan Kerajaan dapat dijimatkan sepanjang tempoh 21 tahun perjanjian.

 

Link Video Pelancaran SEP.