Date: Jumaat, Februari 23, 2018

Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima kepada kontraktor-kontraktor yang dilantik bagi Projek Pembinaan Semula dan Menaiktaraf Sekolah Daif Menggunakan Kaedah IBS di Negeri Sarawak telah berlangsung dengan jayanya pada hari Jumaat, 23 Februari 2018 jam 09.00 pagi di tapak projek.

Majlis telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Hj. Fadillah Bin Hj. Yusof. Dalam ucapan beliau ada menyebut YAB Perdana Menteri semasa Pembentangan Bajet 2018 telah membangkitkan bahawa terdapat hampir dua (2) ribu sekolah di seluruh negara yang berada dalam keadaan daif seperti bumbung bocor, lantai rosak, dinding berlubang dan peralatan yang sudah lama tidak berganti. Oleh yang demikian, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.5 billion untuk tujuan membaik pulih sekolah daif bagi tempoh dua (2) tahun iaitu 2018 dan 2019 dengan pecahan RM500 juta bagi sekolah-sekolah daif di Semenanjung Malaysia, RM1 billion di Negeri Sabah dan RM1 billion di Negeri Sarawak.

Kementerian Kewangan juga telah bersetuju untuk meluluskan pertambahan skop dengan kos sebanyak RM16,320,600.00 yang menjadikan kos keseluruhan projek Fasa 1 di Negeri Sarawak sebanyak RM130,621,000.00 bagi memenuhi keperluan Kementerian Pendidikan Malaysia. Pelaksanaan projek Fasa 1 ini melibatkan 50 sekolah, 13 pakej, 13 kontraktor dengan skop projek yang mengandungi 294 Bilik Darjah, 12 Asrama, 7 Bilik Sains, 28 unit Tandas dan 6 Dewan Makan.

Pemilihan kontraktor telah dibuat secara rundingan terus dari kalangan kontraktor tempatan di Negeri Sarawak.

Dalam ucapannya juga, beliau berharap semua pihak dapat bekerjasama untuk memenuhi hasrat YAB Perdana Menteri agar tahun 2018 ini merupakan “Tahun Kejayaan Dan Keberhasilan Yang Mengagumkan Atau Year of Success and Impressive Result. Beliau turut menyarankan supaya segala usaha dan tenaga perlu digembleng dalam memastikan setiap projek dan program pembangunan dilaksanakan dengan pantas, berkesan dan benar-benar memberi impak positif kepada kesejahteraan hidup rakyat.

JKR selaku agensi pelaksana yang diamanah untuk melaksanakan projek demi kepentingan rakyat berusaha sebaik mungkin bagi memastikan projek dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti dan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Majlis diteruskan dengan Penyerahan Surat Setuju Terima kepada kontraktor-kontraktor yang dilantik dan seterusnya upacara pecah tanah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Hj. Fadillah Bin Haji Yusof dan disaksikan oleh para hadirin yang hadir.