Projek Speed Sign with IoT Radar Sensor (SSR) oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) telah terpilih sebagai Champion bagi World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2024 yang dianjurkan oleh International Telecommunication Union (ITU), United Nations (UN) di bawah kategori AL.C2: Information and Communication Infrastructure.
World Summit on The Information Society (WSIS) Prizes 2024 anjuran International Telecommunication Union (ITU), United Nations (UN) adalah anugerah bagi inisiatif atau produk yang memberi impak tinggi kepada pendigitalan, penggunaan teknologi serta infrastruktur internet selari dengan pelaksanaan Sustainability Development Goals (SDG) dan WSIS Action Lines. WSIS Prizes 2024 dibuka penyertaan kepada semua negara anggota di bawah United Nations (UN). Sebanyak 1036 projek yang telah menyertai WSIS Prizes 2024.
Pemenang adalah dipilih berdasarkan Selection Process, Expert Review serta Voting Phase daripada seluruh dunia. Terdapat 18 kategori yang dipertandingkan di bawah WSIS Prizes 2024. JKR Malaysia telah menghantar dua (2) penyertaan bagi WSIS Prizes 2024. Satu (1) produk JKR iaitu produk Speed Sign with IoT Radar Sensor (SSR) telah berjaya mendapat anugerah Champion bagi kategori: AL.C2: Information and Communication Infrastructure manakala satu (1) lagi produk JKR iaitu JKR e-Tendering System (JET) telah berjaya melepasi sehingga ke Fasa Ketiga iaitu Voting Phase di bawah kategori AL.C7: e-Government.
Speed Sign with IoT Radar Sensor (SSR) merupakan projek inovatif yang dibangunkan oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) dengan kerjasama sebuah syarikat teknologi tempatan, Vectolabs Technologies Sdn. Bhd, dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
SSR menggunakan teknologi Internet of Things (IoT), Big Data Analytics dan teknologi radar, bagi membolehkan pengumpulan data trafik (kelajuan sebenar kenderaan, jenis kenderaan, statistik kelakuan pengguna, serta bilangan kenderaan) diperolehi secara masa nyata (real-time). Data tersebut boleh diakses melalui laman web dan aplikasi mudah alih.
Maklumat yang diperolehi melalui analisis data trafik tersebut juga diyakini dapat digunakan bagi membantu perancangan pembangunan jalan dibuat dengan lebih berkesan. Di samping itu, ia juga secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran awam terhadap keselamatan jalan raya melalui notifikasi paparan kelajuan kenderaan masing-masing yang dipasang pada sisi jalanraya.
Majlis anugerah tersebut telah diadakan sempena WSIS+20 Forum High-Level Event 2024 di Ibu Pejabat ITU, UN, Geneva pada 27-31 Mei 2024.
- 1221 bacaan