Date: Rabu, March 29, 2017
Seluruh Warga Jabatan Kerja Raya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas khidmat bakti Y.Brs. Puan Zan Fatimah Binti Maon, Pengarah Bahagian Reka Bentuk Dan Pembangunan Kepakaran Cawangan Arkitek yang akan bersara pilihan dari perkhidmatan awam bermula pada 1 April 2017, di atas sumbangan dan komitmen besar beliau sepanjang menabur bakti di JKR Malaysia.
 
Y.Brs. Puan Zan Fatimah Binti Maon, telah mula berkhidmat sebagai penjawat awam pada tahun 1980 di Cawangan Kerja Perubatan & Kesihatan. Sepanjang perkhidmatan beliau selama 37 tahun, beliau telah menabur bakti berkhidmat terutamanya bagi projek-projek kesihatan dan hospital, serta dipelbagai penempatan antaranya di Cawangan Kerja Kesihatan, Cawangan Kerja Keselamatan,JKR Negeri Selangor, Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Cawangan Arkitek dan JKR Wilayah Persekutuan Putrajaya.
 
Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau telah di anugerahkan Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak enam (6) kali dan diantara jawatankuasa yang dianggotai adalah:
 
1) Ahli Jawatankuasa One Stop Centre (OSC) Perbadanan Putrajaya mewakili JKR WP Putrajaya
 
2) Timbalan Yang DiPertua Kelab Sukan, Sosial dan Kebajikan JKR WP Putrajaya
 
Beliau juga banyak memberi sumbangan kepada projek-projek  yang berimpak tinggi diantaranya :
 
1) Projek Arkitek untuk Pusat Tabung Darah Negara Jalan Tun Razak Kuala Lumpur yang dilaksanakan secara konvensional dalaman.
 
2) Projek Arkitek untuk Hospital Slim River (250 katil) yang di laksanakan secara konvensional dalaman.
 
3) Terlibat dengan Pengurusan 21 Projek Hospital dalam RMK 7 dan RMK 8.Antaranya Hospital Jasin(76 katil), Hospital Kepala Batas(76 katil), Hospital Setiu (76 katil), Hospital Pekan (108 katil), Hospital Ampang (562 katil) dan Hospital Sg Buloh (620 katil).
 
4) Projek Arkitek untuk Jabatan Kimia di Petaling Jaya, Ipoh, Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching serta Projek Makmal Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia di Ipoh, Selangor dan Johor Bahru di bawah pinjaman Bank Dunia. Pelaksanaan projek ini telah memberi peluang untuk bekerjasama secara JV dengan perunding antarabangsa dari Canada.
 
Beliau telah memberikan khidmat dan sumbangan yang amat bernilai kepada JKR khususnya dan negara amnya sepanjang perkhidmatan beliau di Jabatan ini. Semoga beliau dan keluarga akan sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera dan sentiasa dirahmati Allah, di samping dapat terus menyumbang pengetahuan, kemahiran dan berkongsi pengalaman yang ada demi kepentingan masyarakat dan negara.