Pada 28 November 2024, majlis sambutan Hari Integriti Jabatan Kerja Raya (JKR) 2024 telah dirasmikan oleh YBrs. Ir. Mohd Shahrom bin Ahmad Saman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kementerian Kerja Raya.
Semasa ucapan perasmian, YBrs. Ir. Mohd Shahrom bin Ahmad Saman menyampaikan pesanan beliau kepada warga JKR untuk terus memperkukuhkan integriti dalam organisasi. Beliau menyeru pihak pengurusan, termasuk semua Pengarah Kanan, Pengarah, Ketua Bahagian, dan Ketua Unit di peringkat ibu pejabat, JKR Negeri dan JKR Daerah, agar meningkatkan tanggungjawab dalam pemantauan tingkah laku pegawai serta kakitangan yang berada di bawah seliaan masing-masing.
Bertemakan “Integriti Di Hati”, sambutan yang dianjurkan oleh Bahagian Integriti, Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat ini adalah bersempena dengan sambutan Hari Integriti Nasional. Program ini bertujuan membudayakan integriti serta memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kakitangan JKR.
Warga JKR, termasuk Pengarah Kanan, Pengarah Cawangan, Pengarah JKR Negeri, Pegawai Integriti, Penolong pegawai integriti turut bersama-sama melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang dipimpin oleh Dato’ Ir. Ts. Haji Masri bin Baharuddin Pengarah Cawangan Dasar & Pengurusan Korporat yang disaksikan oleh YBhg. Dato' Pj Azmi bin Kamaruzaman Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pencegahan) dan YBhg Dato' Ir. Ibrahim bin Esa, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) . Majlis turut menyaksikan penandatanganan dokumen Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh YBrs. Ir. Mohd Shahrom bin Ahmad Saman.
Majlis diakhiri dengan sesi perkongsian berinformatif mengenai pencegahan rasuah oleh PsK Sivarasan a/l Baby Kalidawson daripada SPRM, yang memberikan pandangan mendalam tentang langkah memperkukuh integriti dalam organisasi.
Hari Integriti JKR 2024 membuktikan tekad Jabatan Kerja Raya untuk terus memerangi rasuah, memperkasakan nilai akauntabiliti, dan menjunjung integriti dalam setiap aspek pentadbiran dan operasinya.
#IamJKR #KitaJKR #JKRsynergy
#JasaKepadaRakyat
- 1137 bacaan