Bahagian Pengurusan Korporat dan Strategik, Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (BPKS, CDPK) telah berjaya menganjurkan Sambutan Karnival Kesihatan Peringkat Ibu Pejabat JKR Malaysia Tahun 2024 pada 25 September 2024 (Rabu) bertempat di Aras Plaza, Blok G pada jam 9.30 pagi sehingga 2.30 petang.
Karnival ini dimulakan dengan sesi senamrobik yang diketuai oleh Pn. Nirlyana binti Buang dari BPKS, CDPK. Sambutan Karnival Kesihatan pada kali ini turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Datuk Wira Ir. Roslan bin Ismail, Ketua Pengarah Kerja Raya yang turut menyertai sesi walkabout di sekitar Aras Plaza, Blok G. Pelaksanaan karnival ini adalah selari dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang merupakan satu pendekatan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan serta intervensi yang komprehensif dalam pembudayaan hidup sihat dan kelestarian kebersihan persekitaran.
Pelbagai aktiviti dan program menarik telah diadakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pejabat Kesihatan Kepong, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Bahagian Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Dang Wangi.
Antara aktiviti yang diadakan adalah pemeriksaan kesihatan dan pergigian, optometri, pameran penyalahgunaan dadah, panduan pemakanan dan diet sihat serta pengendalian ubat-ubatan. BPKS, CDPK telah menerima kunjungan seramai 205 orang. Pihak penganjur berharap agar karnival ini dapat memberi manfaat kepada warga JKR dan semoga kerjasama antara agensi luar ini dapat diteruskan pada masa hadapan.
- 967 bacaan