Cawangan Kejuruteraan Geoteknik (CKG) bersama Pertubuhan Profesional JKR Malaysia (ProJKRM) telah menganjurkan seminar yang bertajuk “ Seminar On Challenges in Design and Construction On Soft Ground” di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur pada 15 -16 Ogos 2018.
Program ini telah dirasmikan oleh YBrs. Ir. Kamaluddin bin Hj. Abdul Rashid, Timbalan Ketua Pengarah JKR Malaysia (Sektor Pakar) dan dimulakan dengan ucaptama yang disampaikan oleh YBrs. Prof. Ir. Dr. Hj. Ramli bin Nazir, Timbalan Pengarah Pusat Kejuruteraan Geotropik, UTM.
Seminar selama dua (2) hari ini telah disertai oleh seramai 250 orang yang terdiri daripada kalangan jurutera JKR, KKR, kementerian-kementerian, agensi-agensi kerajaan, ahli-ahli akademik universiti dan juga dari perunding serta kontraktor di pihak swasta dan industri.
Sebanyak sebelas (11) kertas pembentangan telah disampaikan oleh penceramah-penceramah yang terdiri daripada CKG, para akademik dan juga pihak industri yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan luas dalam bidangan Kejuruteraan Geoteknik. Ini telah memberi peluang kepada peserta seminar untuk berkongsi ilmu dan pengetahuan serta pendedahan dalam menangani isu-isu yang timbul apabila berhadapan dengan keadaan tanah lembut semasa peringkat rekabentuk mahupun pembinaan. Terdapat juga pameran bagi produk-produk Geoteknik sepanjang seminar ini berlangsung.
Pihak CKG dan ProJKRM sebagai penganjur merakamkan ucapan jutaan terima kasih di atas sokongan pihak pengurusan atasan Jabatan dan kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan seminar tersebut.
- 1528 bacaan