Date: Selasa, Ogos 20, 2024

Pada 12 - 13 Ogos 2024, Dr. Mohd Sabere Bin Sulaiman, Konservator Berdaftar, Bahagian Kepakaran Konservasi, Cawangan Arkitek dan juga Ts. Dr. Roslinda bt Mohd Ghazali daripada JKR Perak  telah mewakili mewakili Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia sebagai pembentang kertas kerja di Seminar Pemuliharaan Senibina Warisan 2024 yang telah diadakan di Dewan Batu Bersurat, Kompleks Muzium Negeri Terengganu.

Tajuk pembentangan yang telah disampaikan adalah “Butiran Kerja Konservasi Dalam Penyediaan Tender Projek Pemuliharaan Bangunan Warisan” dan “Pelaksanaan Projek Pemuliharaan Bangunan Warisan”.

Pemuliharaan bangunan warisan merupakan satu amalan yang belum dipraktikkan secara meluas di Malaysia. Inisiatif penganjuran program seminar ini bertujuan memberi pendedahan kepada semua pihak berkepentingan dalam meningkatkan kesedaran dan pemahaman terhadap usaha-usaha pemuliharaan warisan yang perlu selari dengan pematuhan Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) serta Garis Panduan Pemuliharaan Bangunan Warisan.

Seminar ini menjadi satu platform yang menghimpunkan bukan sahaja ahli-ahli akademik seperti Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Taylor's College, malah Konservator Berdaftar Malaysia, Jabatan Warisan Negara (JWN), CIDB, PAM, Pihak Berkuasa Tempatan, Kontraktor, Agensi Muzium,  Professional dan pelajar universiti yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan industri pemuliharaan bangunan warisan di Malaysia. Seminar ini turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Pesuruhjaya Warisan, JWN.

Selain itu, satu lawatan kerja oleh Bahagian Kepakaran Konservasi, CA ke Projek Perahu Besar (Objek Warisan) turut dilaksanakan untuk tujuan pemeriksaan serta mendapatkan status terkini projek tersebut.

Semoga kejayaan penglibatan pegawai-pegawai jabatan khususnya buat kedua-dua pembentang pada kali ini akan menjadi inspirasi dan pemangkin kepada warga JKR untuk terlibat dalam pembentangan kertas kerja sebegini.