Date: Khamis, November 2, 2017

SEMINAR PWD DESIGN FORUM 2017 (+pdf 2017) telah berlangsung pada 30 - 31 Oktober 2017 di Dewan Utama CREaTE, Alor Gajah, Melaka. Seminar dua(2) hari tersebut adalah anjuran bersama Cawangan Arkitek dan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE), Jabatan Kerja Raya (JKR). Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia. Majlis turut dihadiri oleh Tuan Kamaluddin bin Hj. Abdul Rashid, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) dan Sr. Ratna binti Hj. Mahyuddin, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar) dengan diiringi oleh Ar. Zairul Azidin Bin Badri, Pengarah Kanan, Cawangan Arkitek dan Ir. Dr. Che Hassandi bin Abdullah, Pengarah Kanan, CREaTE serta Pengarah - Pengarah dan Ketua Bahagian dari JKR dan CREaTE.

Objektif seminar pada tahun ini adalah mewujudkan platform jalinan rangkaian – Connectivity kepakaran antara pelbagai disiplin JKR, Agensi Kerajaan dan Institusi Pengajian Tinggi Awam, meningkatkan daya kreativiti dan inovatif di kalangan pereka bentuk serta mendedahkan hala tuju dan kerangka Dasar Seni Bina Identiti Kebangsaan (DASIK).

Sebanyak lapan (8) kertas kerja telah dibentangkan pada seminar ini yang disampaikan oleh penceramah yang sangat berkaliber dan berpengalaman luas dalam bidang masing-masing seperti berikut:-

1.         Reka Bentuk Sejagat (Universal Design) - OKU Compliance, Public Perception oleh Profesor Madya Dr. Naziaty Mohd Yaacob, Universiti Malaya

2.         Build Connectivity In Architecture oleh En. Saiful Fazli bin Ramli, JKR Malaysia

3.         Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) oleh Pn. Azni Zaharah binti Kamarulzaman dan En. Nik Muhammad Syahman bin Nik Ibrahim, JKR Malaysia

4.         Kompleks Suruhanjaya Malaysia, New Delhi, India oleh Ar. Wan Mohammad Norshah bin Abd Satar, JKR Malaysia

5.         Projek Kompleks Penyiaran Negeri Perlis oleh En. Halami Aman bin Mohd Mohktar, JKR Malaysia

6.         Masjid Sultan Salehuddin, Shah Alam, Selangor oleh Ar. Zainal binMat Rais, JKR Malaysia

7.         Cadangan Halatuju dan Kerangka Dasar Seni Bina Identiti Kebangsaan (DASIK) dan Cadangan Strategi dan Pelan Tindakan Dasar Seni Bina Identiti Kebangsaan (DASIK) oleh Prof. Madya Dr. Syed Ahmad Iskandar bin Syed Ariffin, Lembaga Arkitek Malaysia

8.         Seni Bina Identiti Kebangsaan Malaysia Melalui Pendekatan Dari Teras Seni Bina Warisan Melayu oleh Ar. Dr. Mastor Surat, Lembaga Arkitek Malaysia.

Seminar tahunan ini  telah diadakan semenjak tahun 2013 dan kali ini berjaya menepati sasaran peserta kerana selain daripada penyertaan kakitangan JKR Malaysia di peringkat Ibu Pejabat, Negeri dan Kader. Seminar ini juga turut berjaya mendapat sambutan yang baik dengan kehadiran para peserta dari Pertubuhan Arkitek Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Perbandaran Alor Gajah, Majlis Daerah Tampin, International Islamic University Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Mara, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Politeknik Merlimau, Politeknik Port Dickson, City University, Linton College, Taylor’s University dan juga penyertaan dari sektor swasta seperti Engr. Solubuild Pacific Sdn. Bhd., Murtadza Nuri Arkitek, WNorisma Architect, Hijjas Kasturi Associates, Shahrom Architect dan Arkitek Rozanna Baharom.