Pada 13 November 2024 telah berlangsung satu sesi libat urus Pengarah Cawangan Dasar Dan Pengurusan Korporat (CDPK), YBhg. Dato’ Ir. Ts. Haji Masri Bin Baharuddin bersama Pegawai-Pegawai Kader JKR di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertempat di Atrium Cendekia, Kompleks E9, Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya.
Sesi ini turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Bahagian (Teknikal), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selaku wakil ahli Majlis Tindakan Kader (MTK), YBrs. Ir. Dr. Sarina Binti Ismail, pegawai - pegawai dari Ibu Pejabat JKR Malaysia serta Pegawai-Pegawai KADER JKR Malaysia di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Dianggarkan seramai 120 Pegawai Kader JKR terdiri daripada Kumpulan Pengurusan Dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana yang berkhidmat di Kementerian Pelajaran Malaysia.
Sesi ini bertujuan bagi mengeratkan hubungan bersama pegawai-pegawai Kader JKR Malaysia yang bertugas di Kementerian/Jabatan/Agensi Pelaksana bersama pihak Pengurusan Jabatan Kerja Raya Malaysia.
Aturcara bermula dengan ucapan aluan daripada Timbalan Setiausaha Bahagian (Teknikal) dan diteruskan dengan ucapan daripada YBhg. Dato’ Pengarah Cawangan Dasar Dan Pengurusan Korporat (CDPK) serta disusuli perbentangan oleh YBrs. Ir. Mukhzani Bin Latif dan YBrs Ir. Ts Salawati Binti Sallan wakil dari Cawangan Pengurusan Aset Bersepadu berkenaan peranan Pegawai Kader JKR dalam pelaksanaan projek atau program dan Penilaian Aset di Kementerian/Jabatan/Agensi Pelaksana.
Program ini juga diteruskan dengan sesi soal jawab pelbagai perkara yang berbangkit melibatkan Kumpulan Pengurusan Dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana bersama wakil-wakil dari Kementerian Kerja Raya Malaysia dan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE). Antara intipati soal jawab adalah hal ehwal kebajikan serta permasalahan yang wujud di kalangan pegawai-Pegawai Kader JKR, selain berkongsi idea dan pendapat.
Sesungguhnya program ini telah memberi laluan dalam mewujudkan rasa keperihatinan pengurusan Jabatan Kerja Raya Malaysia terhadap pegawai - pegawai Kader JKR yang berkhidmat di Kementerian/Jabatan/Agensi pelaksana dengan penuh komited dan dedikasi dalam menggalas tanggungjawab seterusnya membawa reputasi baik dan jenama unggul JKR secara amnya. Secara keseluruhannya, program ini telah mencapai matlamat yang diingini. Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan sesi libat urus ini.
- 684 bacaan