Date: Rabu, Januari 18, 2017
Satu sesi wacana perbincangan antara Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, Y.Bhg Dato’ Sri Ir. Dr Roslan bin Md. Taha dengan pemain industri jalanraya Malaysia telah diadakan pada 16 Januari 2017 di Bilik Mesyuarat Berlian, Aras 2 Blok G, Menara Kerja Raya. Para pemain industri jalanraya Malaysia ialah terdiri daripada kontraktor pembinaan jalan, syarikat konsesi lebuhraya dan jalanraya, perunding, akademia dan pembekal bahan binaan. Objektif wacana ini adalah untuk menarik minat pemain industri jalanraya Malaysia untuk bergiat aktif dalam pertubuhan kejuruteraan jalanraya antarabangsa seperti PIARC (Permanent International Association Of Road Congress) dan Road Engineering Association Of Asia & Australasia (REAAA) di samping pertubuhan kejuruteraan jalanraya tempatan iaitu Road Engineering Association of Malaysia (REAM). Hasil penglibatan aktif dalam pertubuhan antarabangsa ini, adalah diharapkan pemain industri jalanraya Malaysia mendapat manfaat serta perkongsian ilmu dari pakar-pakar kejuruteraan jalanraya serantau dan seluruh dunia. Inisiatif wacana ini diilhamkan sendiri oleh KPKR selaku First Delegate of Malaysia to PIARC dan Naib Presiden REAAA. 
 
Sesi wacana ini dimulakan dengan  ucapan aluan oleh YBhg. Dato' Sri KPKR. Beliau melahirkan rasa gembira dan merakamkan penghargaan atas kehadiran ramai pemain industri jalanraya Malaysia. Sesi diteruskan dengan pembentangan oleh YBrs. Ir Zulakmal Sufian, Pengarah CSFJ, tentang PIARC serta aktiviti-aktiviti yang boleh disertai seperti Jawatankuasa Teknikal dan Task Force. Ir Zulakmal merupakan Sekretariat PIARC Malaysia. Seterusnya YBrs. Dr Che Hassandi bin Abdullah, Pengarah Kanan CREaTE, selaku Setiausaha Kehormat REAAA membentangkan tentang REAAA dan peranan pertubuhan tersebut dalam aktiviti kejuruteraan jalanraya serantau. Seterusnya, YBhg. Dato’ Ir Dr Ashari bin Mohd selaku Setiausaha Kehormat Road Engineering Association of Malaysia (REAM), memaklumkan kepada hadirin tentang REAM serta hubungkait dengan PIARC dan REAAA. Sesi cambah fikiran diadakan selepas itu, dengan pelbagai maklumbalas diterima oleh hadirin. Antaranya isu pembentangan kertas kerja teknikal, kekurangan penyebaran maklumat tentang aktiviti pertubuhan, pengurangan cukai atas penglibatan aktif di dalam pertubuhan dan sebagainya. 
 
Turut hadir ke sesi ini ialah pegawai kanan JKR yang masih menjadi ahli Jawatankuasa Teknikal PIARC. Kehadiran 70 orang pemain industri jalanraya ke sesi ini jelas menunjukkan minat dan kesungguhan mereka untuk bergiat aktif di dalam pertubuhan kejuruteraan jalanraya. Adalah diharapkan, penyertaan mereka di dalam pertubuhan antarabangsa ini akan meningkatkan lagi kualiti pembinaan, penyenggaraan dan pengurusan jalanraya di Malaysia untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat.