SEOUL, KOREA : Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada En. Mohd Hafis bin Ahmad, kakitangan JKR yang bertugas di Urus Setia Disiplin Awam JKR kerana telah memenangi 2 anugerah inovasi melalui produk penyelidikan dan inovasi bertajuk “Change Management Readiness Framework for Malaysian Public Organisation” di acara The 5th Korea Creative Invention Contest (CiC 2018), ChungMu Art Hall, Seoul, Korea pada 12hb Ogos 2018 yang lalu.
Produk penyelidikan dan inovasi ini telah dianugerahkan Anugerah Khas dari World Inventors Association (WIA) dan Anugerah Pingat Emas (CiC 2018) dari Korea Invention News (KINEWS). Ia merupakan sebahagian daripada dapatan penyelidikan pengajian Doktor Falsafah beliau, dibawah seliaan Prof. Madya Ts. Ir. Dr. Syuhaida Ismail dan Prof. Abd Latif Saleh dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Inovasi beliau dalam bentuk kerangka kerja (framework) tersebut berfungsi sebagai panduan bagi pihak pengurusan organisasi awam di Malaysia untuk memastikan tahap kesediaan organisasi dan kakitangan dalam menghadapi perubahan organisasi.
Sebagai makluman, acara CiC 2018 ini merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh KINEWS Korea, bertujuan menyediakan platform dan memberi peluang kepada para pelajar, pencipta, inovator dan saintis penyelidikan seluruh dunia bagi menzahirkan kreativiti dan keupayaan inovatif untuk mencipta melalui idea-idea baharu seterusnya mengiktiraf kepentingan dan signifikasi antara harta intelek dunia, globalisasi dan daya saing negara. Ia telah dihadiri oleh para pelajar, pencipta, inovator dan saintis penyelidikan yang mengambil bahagian dari seluruh dunia melibatkan lebih daripada 100 produk penyelidikan dan inovasi.
Dengan penghasilan kerangka kerja tersebut diharapkan ia dapat dimanfaatkan supaya strategi yang lebih baik dan lebih cekap selain kesan positif ke atas perancangan pengurusan perubahan organisasi dapat dilaksanakan, yang mana akhirnya membantu dalam memastikan pelaksanaan program pengurusan perubahan yang lebih berkesan di dalam organisasi awam Malaysia terutamanya JKR untuk mencapai visi, misi, objektif dan fungsi yang ditetapkan oleh jabatan.
- 1818 bacaan