Date: Rabu, April 19, 2023

Penyelidikan rentas sempadan berkaitan penyenggaraan jambatan ini telah diwujudkan atas inisiatif 17th ASEAN-Japan Senior Transport Officer Meeting yang diadakan pada bulan Julai 2019. Objektif utama penyelidikan ini adalah bagi merapatkan jurang penyenggaraan jambatan di sepanjang rangkaian Lebuhraya ASEAN (ASEAN Highway) berdasarkan amalan kejuruteraan terbaik. Mesyuarat pembukaan kumpulan pakar telah diadakan pada 18 Februari 2020 di Bangkok, Thailand diikuti dengan 5 siri mesyuarat secara atas talian yang diadakan antara tahun 2020 hingga 2022.

Technical Meeting on Joint Research on Bridge Maintenance for ASEAN Cross-Border Corridors telah diadakan pada 14-15 Februari 2023 di Tokyo, Jepun bagi memuktamadkan penyelidikan rentas sempadan ASEAN dan Jepun berkaitan penyenggaraan jambatan. Mesyuarat yang mengumpulkan kumpulan pakar penyenggaraan jambatan di kalangan negara anggota ASEAN dan Jepun ini telah dihadiri oleh YBrs. Dr. Azwan Ezzany bin Azmi, Jurutera Awam Penguasa, Bahagian Kejuruteraan Pemulihan Jambatan, Cawangan Senggara Fasiliti Jalan.

Mesyuarat teknikal ini telah memuktamadkan penemuan penyelidikan yang berjaya menghasilkan sebuah dokumen rujukan teknikal bertajuk Technical Reference for Bridge Maintenance in ASEAN Cross-Border Corridors. Rujukan teknikal mengandungi 285 halaman ini dibahagikan kepada 6 bab yang menerangkan tentang isu-isu penyenggaraan serta kaedah pembaikan jambatan berdasarkan pengalaman negara ASEAN dan Jepun.

Rujukan teknikal yang memfokuskan kepada pengurusan jambatan di sepanjang rangkaian Lebuhraya ASEAN boleh dijadikan rujukan utama dalam pelaksanaan penyenggaraan jambatan di Malaysia. Draf akhir rujukan teknikal ini boleh dimuat turun oleh warga JKR melalui pautan https://jpedia.jkr.gov.my/images/e/ee/Technical_Reference_for_Bridge_Maintenance_in_ASEAN_Cross-Border_Corridors_-Final_Draft-.pdf (link is external).

Satu siri lawatan teknikal turut diadakan bersempena mesyuarat teknikal tersebut. Semasa sesi lawatan teknikal, kumpulan pakar telah dibawa melihat kerja-kerja penyenggaraan Rainbow Bridge, kerja-kerja menaiktaraf Metropolitan Expressway Route 1 Haneda Line Renewal Work Site (Higashi-Shinagawa and Samezu) dan kerja-kerja menaiktaraf terminal bas Busta Shinjuku. Kumpulan pakar turut dibawa melawat pekan budaya di Asakusa bagi melihat aspek kebudayaan yang masih dipelihara.

Penyelidikan bersama ini telah berjaya meningkatkan kerjasama di kalangan kumpulan pakar dan organisasi pengurusan penyenggaraan jambatan bagi memastikan penyenggaraan jambatan yang mapan di seluruh negara ASEAN khususnya di rangkaian Lebuhraya ASEAN yang semakin meningkat penggunaannya.

Jabatan Kerja Raya amat berbangga dengan sumbangan besar yang dimainkan oleh warganya dengan berkongsi pengalaman Malaysia kepada pihak lain dalam bidang kejuruteraan infrastruktur dan pengurusan aset. Jabatan Kerja Raya berharap agar lebih banyak inisiatif penyelidikan rentas sempadan seperti ini dilaksanakan bagi menyumbang pengetahuan dan pengalaman warganya di samping meningkatkan pendedahan warganya kepada amalan kejuruteraan terkini.

 

Sesi bergambar kumpulan pakar penyenggaraan jambatan ASEAN dan Jepun yang terlibat dalam penyelidikan bersama rentas sempadan.

 

Wakil Malaysia yang menghadiri mesyuarat teknikal.

 

Suasana semasa sesi pembentangan dan perbincangan teknikal.

 

Wakil Malaysia bergambar kenangan bersama Rainbow Bridge selepas sesi lawatan teknikal.

 

Lawatan teknikal di projek menaiktaraf Metropolitan Expressway Route 1 Haneda Line Renewal Work Site (Higashi-Shinagawa and Samezu)

 

Lawatan teknikal di projek menaiktaraf terminal bas Busta Shinjuku