Date: Isnin, Ogos 5, 2019

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Ir. Mohd Naimie bin Mazid, Jurutera Mekanikal Penguasa dan En. Osman bin Hj. Abdul Wahid, Jurutera Mekanikal daripada Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Ibu Pejabat JKR Malaysia atas kejayaan diiktiraf Lift Competent Person Grade 3 Certification and Assessment Course anjuran The Malaysian Lift and Escalator Association (MALEA) pada 10 – 15 Julai 2019. Lebih membanggakan, kedua-dua pegawai berkenaan merupakan peserta terbaik untuk sesi pensijilan kali ini. Untuk itu, YBhg. Dato’ Ir. Dr. Meor Abdul Aziz bin Hj. Osman, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia telah sudi menyampaikan sijil kepada pegawai berkenaan yang disaksikan oleh YBrs. Ir. Razdwan bin Kasim, Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Mekanikal (CKM) Ibu Pejabat JKR, YBrs. Ir. Mamat Rohizan bin Abdullah, Pengarah Rekabentuk CKM, YBrs. Ir. Hj. Ismail bin A. Rahman, Pengarah Khidmat Pakar CKM dan Noor’Ain binti Zainal Abidin, Jurutera Mekanikal Penguasa Kanan, Bahagian Pakar Peralatan Pengangkutan dan Kejuruteraan Bendalir, CKM.

Kejayaan ini merupakan suatu detik bersejarah buat JKR Malaysia kerana buat julung kalinya kakitangan selain daripada Firma Yang Kompeten (FYK) Lif berjaya diiktiraf sebagai Competent Person. Pencapaian ini, hasil kerjasama dengan pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), di mana pegawai JKR yang berkelayakan kini diberi kebenaran khas bagi mengikuti program pensijilan tersebut.

Semoga kejayaan kedua-dua pegawai yang berkenaan menjadi pendorong kepada warga kerja JKR yang lain untuk sama-sama meningkatkan kompetensi masing-masing. Tahniah sekali lagi.