Date: Rabu, Jun 8, 2016

UCAPAN PERSARAAN YBHG DATUK IR HJ ADANAN BIN MOHAMED HUSSAIN, KETUA PENGARAH KERJA RAYA MALAYSIA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam 1Malaysia. Selawat dan salam kepada junjungan kita, Nabi Muhammad SAW beserta keluarga, sahabat & pengikutnya. Dimaklumkan bahawa hari ini merupakan hari terakhir saya bergelar sebagai penjawat awam dan esok saya akan memasuki fasa baru kehidupan sebagai seorang pesara Kerajaan.

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan
 
Sesungguhnya menjadi Ketua Pengarah Kerja Raya adalah satu amanah dan tanggungjawab yang amat besar kepada saya, KP-KP sebelum saya dan yang bakal menggantikan saya. JKR dikenali sebagi sebuah jabatan ikonik yang sudah berbakti lebih dari 140 tahun, dan masih kekal relevan walaupun telah melalui pelbagai zaman perubahan besar termasuklah ledakan media sosial di akhir ini.  Ini sudah tentunya memerlukan kekuatan dalaman yang tersendiri di samping adaptability dalam meluncuri badai untuk kekal relevan. Tugas Ketua Pengarah Kerja Raya adalah amat mencabar sekali bagi memastikan jabatan terus unggul sebagai tonggak kekuatan teknikal Negara dan sentiasa ke hadapan.
Sebahagian besar masa produktif saya adalah bersama JKR. JKR sudah menjadi keluarga kedua bagi saya, dan oleh itu sudah tentu sekali terasa amat berat untuk meninggalkan jabatan tercinta ini. Walaubagaimanapun, sudah menjadi lumrah alam bahawa patah tumbuh hilang berganti; yang lama membuka jalan kepada yang baru untuk meneruskan perjuangan. Paling penting adalah JKR terus kekal berdaya maju di bawah kepimpinan yang baru.

Saya mendapati bahawa JKR sekarang sudah kembali ke langkah asal, malahan semakin mantap dan berada di landasan yang betul. Kita sudah mengorak langkah penuh yakin dengan mengukuhkan kompetensi pengurusan projek melalui, program persijilan PMP yang dibangunkan bersama agensi terkemuka pengurusan projek antarabangsa, sehingga kita sudah boleh memberikan pengiktirafan / persijilan PMP kepada pegawai yang berjaya mengikuti program ini. Kita juga telah membudayakan kreativiti dan inovasi. Ini dapat dilihat apabila kita berjaya merangkul pingat dalam kesemua penyertaan di ITEX, Kuala Lumpur 2016. Kita juga telah diiktiraf agensi 5 Bintang HRMIS 2015 oleh JPA dengan 98.70% markah.

Untuk terus mengorak langkah ke hadapan demi pembangunan lestari Negara, kita sudah membangunkan Penarafan Hijau JKR (phJKR), Skim Penarafan Hijau MYCREST, IBS, BIM, PAP (Pre Approved Plan), PAM (Pengurusan Aset Menyeluruh) dan ICT J10 antara lainnya. Bagi mengukuhkan kompetensi teras, kita telah mengutarakan konsep SME (Subject Matter Expert) dan alhamdulillah seramai 6 orang telah diiktiraf SME oleh JPA. Manakala pembudayaan ilmu melalui ECKM (Enterprise Content Knowledge Management) sudah memasuki tahun ke 8. Integriti jabatan terus diperkukuhkan dengan wujudnya Whistle Blowing Policy. Kita juga telah membangunkan Kerangka Strategi dan Pelan Transformasi JKR untuk melangkah yakin ke hadapan.

Selain itu, untuk menangani isu persepsi kita telah mewujudkan JK Mempromosi JKR dan program-program Jalinan Murni serta sesi Town Hall diadakan untuk mendekatkan JKR dengan agensi pelanggan. Pendek kata, kita sudah mempunyai perancangan dan program-program untuk menjadikan JKR terus relevan. Kita juga bakal mempunyai Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR, atau Centre of Excellence For Engineering and Technology ( CREaTE)  di Alor Gajah, Melaka, yang dalam fasa akhir pembinaan.

Semua ini adalah hasil keringat barisan kepimpinan JKR dan pegawai-pegawai yang telah mencurahkan segala-galanya dengan komitmen penuh tanpa jemu walaupun terdapat pelbagai halangan. Justeru, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja Jabatan Kerja Raya yang telah menyumbang ke arah kecemerlangan JKR. Terima kasih di atas sokongan yang diberikan kepada saya di sepanjang perkhidmatan saya di Jabatan tercinta ini.

Di kesempatan ini juga saya ingin menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf sekiranya ada salah silap yang mengguris hati sesiapa sahaja di dalam melaksanakan tugas. Saya juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua warga JKR dan semoga segala usaha yang dilaksanakan mendapat keredhaanNya. Best wishes and good luck to all. Thank You.

Datuk Ir. Haji Adanan Mohamed Hussain
Ketua Pengarah
Jabatan Kerja Raya Malaysia
8hb Jun 2016