Pada 5 September 2023 yang lalu bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre, YBhg. Datuk Ir. Ahmad Redza Bin Ghulam Rasool, Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR) telah diberi penghargaan untuk menyampaikan Ucaptama bagi Project Management Conference 2023 (PROMAC 2023) yang dianjurkan oleh Institution of Engineers, Malaysia (IEM).
Ucaptama yang disampaikan bertajuk “Agile and New Ways of Project Management” adalah selaras dengan Tema PROMAC 2023 iaitu “Advancing Project Management: Agile and Beyond 2023”. PROMAC 2023 ini memfokuskan kepada perkembangan Pengurusan Projek Agile (Agile Project Management) dalam melaksana sesebuah projek. Pendekatan Pengurusan Projek Agile ini menekankan fleksibiliti dalam pengurusan projek selaras dengan situasi semasa seperti fasa pemulihan selepas pandemik COVID-19 dan perkembangan teknologi pembinaan yang pantas.
Seminar ini turut menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Malaysian Asset and Project Management Association (MAPMA) dan Institution of Engineers, Malaysia (IEM) yang diwakili oleh Pengarah Kanan CPAB sebagai Presiden MAPMA, YBhg. Dato’ Ir. Roslan bin Ismail dan Timbalan Presiden IEM, YBrs. Ir. Prof. Dr Jeffrey Chiang Choong Luin. MoU ini bertujuan mengukuhkan kerjasama MAPMA dan IEM bagi mempromosikan pengurusan projek sebagai disiplin yang diiktiraf bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa. Selain itu, diharapkan kerjasama yang terjalin ini dapat meningkatkan lagi kecemerlangan pengurusan projek di Malaysia.
- 790 bacaan