Untuk makluman, Ir . Ahmad Ridzuan bin Abu Bakar, Jurutera Awam Penguasa Kanan, Cawangan Perancangan Aset Bersepadu, JKR Malaysia telah dipilih oleh Kementerian Kerja Raya sebagai wakil delegasi jabatan ke XI International Construction Forum and Expo di Ekaterinburg Expo International Exhibition Centre Rusia pada 1 Oktober - 4 Oktober 2024. Program ini turut dihadiri oleh pegawai Kementerian Kerja Raya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan perunding swasta.
Sepanjang program berlangsung, Ir. Ahmad Ridzuan telah terlibat dalam dua (2) buah forum iaitu:
- Grand Opening Plenary Session dengan tema Construction of the Future yang menampilkan sepuluh (10) orang panel daripada negara tuan rumah, Belarus, Zimbabwe dan beberapa buah negara lain. Antara yang dibincangkan adalah hala tuju sektor pembinaan dalam Revolusi Perindustrian 4.0 serta berkongsi pengalaman, manfaat dan cabaran dalam adaptasi teknologi pembinaan terkini; dan
- III Eurasian Construction Congress Plenary Session yang membincangkan topik Digitization of the EAEU and Common Technological Zone in the Construction Industry as a Tool for Achieving Technological Sovereignty di mana beliau telah membentangkan laporan Digitization Strategy in Malaysia: Key Principles and Benchmarks yang memberi fokus kepada status pelaksanaan inisiatif BIM di JKR.
Selain forum, program selama empat (4) hari yang dihadiri seramai 30 ribu pengunjung terdiri daripada pelbagai buah negara seperti Brazil, India, Cuba, Tajikistan, Laos dan sebagainya ini turut diisi dengan pelbagai program seperti World Construction Championship, persidangan, lawatan teknikal, majlis anugerah pembinaan dan pameran ekspo teknologi pembinaan terkini yang disertai oleh pelbagai negara.
Kesimpulannya, program sebegini dilihat dapat memberi pendedahan secara langsung kepada para pegawai menerusi demonstrasi penggunaan teknologi pembinaan terkini, perbincangan dan perkongsian ilmu daripada beberapa pakar antarabangsa. Kaedah pendekatan dan inisiatif pendigitalan daripada negara-negara yang hadir boleh dijadikan contoh untuk melonjakkan industri pembinaan di Malaysia.
Selain itu, program ini juga merupakan platform yang sesuai untuk menampilkan keupayaan dan kemampuan JKR dalam mengadaptasi teknologi baharu seperti Building Information Modelling (BIM). Negara seperti Cambodia, Uzbekistan dan Zimbabwe telah menunjukkan minat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program pengurusan perubahan dan pembangunan kompetensi BIM di JKR. Semoga menerusi program sebegini akan terus melonjakkan JKR Malaysia di persada antarabangsa.
#JasaKepadaRakyat
#KItaJKR
#JKRsynergy
- 1306 bacaan