Kunjungan Jalinan Mesra Cawangan Kejuruteraan Mekanikal (CKM), Ibu Pejabat JKR Malaysia ke Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah diadakan pada 12 Januari 2018 bertempat di Wisma TNB, Jalan Timur, Petaling Jaya, Selangor. Lawatan delegasi seramai 10 orang ini diketuai oleh YBrs. Ir. Gopal Narian Kutty AMN, JMW, Pengarah Kanan CKM, diiringi oleh YBrs. Ir. Razdwan Bin Kasim, Pengarah Khidmat Pakar CKM, YBrs. Ir. Mamat Rohizan bin Abdullah, Pengarah Rekabentuk CKM, dan disertai oleh beberapa pegawai kanan Cawangan Kejuruteraan Mekanikal (CKM) serta 2 orang wakil dari Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE). Delegasi JKR disambut oleh Tn. Haji  Ir. Rumaizi bin Hamid selaku Pengurus Besar TNB (Pengurusan Aset) dan turut disertai oleh pegawai-pegawai kanan TNB dari bahagian-bahagian berkaitan seperti pengurusan projek, polisi dan teknikal.

Aktiviti kunjungan mesra ini merupakan antara usaha CKM bagi mengeratkan hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama antara kedua-dua organisasi serta membincangkan pelbagai topik berkaitan skop mekanikal dan elektrikal bagi pelaksanaan projek-projek kerajaan. Selain itu juga, satu taklimat ringkas turut disampaikan oleh pihak CKM berkenaan organisasi JKR, bisnes teras JKR, dan proses pelaksanaan projek di peringkat JKR Ibu Pejabat dan JKR Negeri.

Seterusnya, sesi perbincangan dan soal jawab berkenaan beberapa topik berkaitan sistem pencegah kebakaran di pencawang elektrik (substation) seperti skop kuasa/tanggungjawab antara Ibu Pejabat dan Negeri dan isu-isu berkaitan kontrak telah diadakan. Kedua-dua pihak juga berkongsi idea dan pandangan untuk memperluaskan kerjasama khususnya yang melibatkan perkongsian ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam sistem pencegah kebakaran serta pelaksanaan projek bangunan.

Sesungguhnya program ini telah membuka laluan dalam mewujudkan kerjasama yang lebih erat antara JKR dan TNB pada masa hadapan bagi menjayakan pelaksanaan projek-projek kerajaan yang menepati hasrat kerajaan dan rakyat khususnya.

Share This Post:

ckmadmin


Related Posts