Date: Jumaat, Oktober 14, 2022

Pada tanggal 13 Oktober 2022 (Khamis) bertempat di Ruang Mezzanine Kiri, Aras M, Menara Kerja Raya Blok G, Ibu Pejabat JKR Malaysia telah berlangsungnya Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan pelantikan Pengarah Projek (PD) bagi projek di bawah Cawangan Kerja Bangunan Am 1 (CKBA 1) iaitu PEMBINAAN KUARTERS GUNASAMA PERSEKUTUAN BINTULU, SARAWAK.

Majlis ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Rahmat bin Haji Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) dengan penyerahan dokumen Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang berjaya iaitu SARATECH SDN BHD. Majlis turut dilengkapi dengan penyerahan surat rasmi pelantikan Pengarah Projek kepada Pengarah Pembinaan, Pasukan Projek Khas 2 iaitu YBrs. Ir. Jasmi Bin Wahab.

Turut hadir bersama adalah YBrs. Puan Lavinia Clarissa Anak Jusueb Ketua Penolong Setiausaha, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak, YBrs. Ar. Abd Shukor bin Ismail, yang menjalankan tugas Pengarah ‎Kanan Cawangan Kerja Bangunan Am 1 bersama wakil-wakil HOPT dan HODT yang terlibat.

Projek ini adalah projek di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Setiausaha Persekutuan Sarawak selaku pemilik.  Objektif pelaksanaan projek ini adalah bagi menyediakan kediaman yang sempurna dan kondusif kepada penjawat awam dan seterusnya meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan dan stakeholders. Projek yang dilaksanakan secara Reka dan Bina ini melibatkan pembangunan kawasan seluas 1.215 hektar (3 ekar) di Lot 4081 Block 26 Kemena Land District, Bintulu, Sarawak. Skop projek ini adalah pembinaan 90 unit kuarters pelbagai kelas yang mengandungi 70 Unit Kelas F dan 20 Unit Kelas G. Di samping itu, terdapat bangunan sokongan seperti Pencawang Elektrik, Rumah Sampah, Pondok Pengawal dan taman permainan turut dibina di kawasan tersebut.

Projek ini juga telah dikenalpasti oleh pihak JKR untuk dilaksanakan dengan adaptasi Building Information Modelling (BIM) sehingga mencapai tahap perincian Level of Development (LOD) 500. Selaras dengan itu, pihak kontraktor perlu melaksanakan projek ini dengan mengadaptasi kaedah BIM dalam fasa perancangan, fasa rekabentuk, fasa pembinaan sehingga ke fasa serahan projek.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada kontraktor yang dilantik dan semoga dapat memberi komitmen sepenuhnya untuk menyiapkan projek dalam tempoh kontrak yang ditetapkan.

Alhamdulillah. Diharap kejayaan penyerahan Surat Setuju Terima (SST) ini dapat dijadikan semangat kepada ‎semua pihak dalam urusan pelaksanaan projek yang ‎seterusnya.‎ Setinggi-tinggi syabas dan tahniah diucapkan ‎kepada semua pihak yang telah berusaha keras ‎merealisasikan harapan ini.

JKR selaku agensi pelaksana akan memikul amanah yang telah diberikan dengan baik bagi memenuhi aspirasi Kerajaan agar projek-projek ini dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti, dengan kos dan tempoh masa seperti mana yang telah ditetapkan dalam kontrak.