Date: Rabu, Februari 7, 2024

Majlis Penyerahan Projek Siap bagi NAIK TARAF ICU HOSPITAL TENGKU AMPUAN RAHIMAH, KLANG, SELANGOR - TENDER SEMULA telah berlangsung dengan jayanya pada 02hb Februari 2024 (Jumaat) bertempat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor.

Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Mohd Zawawi Bin Zakaria, Timbalan Pengarah JKR Selangor mewakili Pengarah JKR Selangor selaku Pegawai Penguasa projek kepada YBrs. Puan Zellina Binti Abdul Rahman, Ketua Penolong Setiausaha KananBahagian Pembangunan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan disaksikan oleh YBrs. Ir. Nazmi Bin Jaafar, Jurutera Awam Pengusa Kanan selaku Wakil Pegawai Penguasa (Utama), Pasukan Projek Persekutuan Negeri, JKR Selangor, dan YBrs. Dr. Faizal Bin Mat Arifin, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan).

Sesi penyerahan ini juga turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Ar. Hani Yuliati binti Mohd Lasa, Arkitek Penguasa Kanan, mewakili Pengarah Cawangan Kerja Kesihatan, Ibu Pejabat JKR Malaysia, dan En Faizal Bin Abdullah, Pengarah Urusan Call Time Engineering, selaku Kontraktor Utama, Timbalan-Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Timbalan-Timbalan Pengarah Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Wakil Pegawai Penguasa (Pakar) kesemua disiplin JKR Selangor.

Projek NAIK TARAF ICU HOSPITAL TENGKU AMPUAN RAHIMAH, KLANG, SELANGOR - TENDER SEMULA ini telah berjaya disiapkan pada 30 Julai 2023 dengan kos keseluruhan projek bernilai RM 13,635,140.68 berbanding kos asal projek yang bernilai RM 14,841,529.70 yang dikawalselia oleh Pasukan Projek Persekutuan Negeri, JKR Selangor.

Projek ini telah dikategorikan sebagai Ruang ICU terbesar bagi hospital Kerajaan di Malaysia iaitu dapat menampung sebanyak 30 katil beserta 4 bilik isolasi dan ruangan kerja serta bilik rehat, juga kelengkapan-kelangkapan lain seperti Sistem Reverse Osmosis & Sterilizer, Sistem Pencegah Kebakaran, dan Sistem ELV beserta ICT. Dengan ruangan dan sistem yang disediakan ini dijangka dapat memenuhi keperluan dan kefungsian hospital serta dapat menampung bilangan pesakit yang semakin meningkat.

Projek ini juga telah berjaya disiapkan dengan pencapaian 8 dalam 1 yang merangkumi kriteria berikut:

1.CPC
2.Lukisan Siap Bina
3.Operation & Maintenance
4.Penjimatan kos dari kos siling Projek
5.Zero lost time injury
6.Zero major defect
7.Pendaftaran Aset tak alih dan inventori
8.Dokumen penyerahan (33 Senarai Semak)
 

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Cawangan Kerja Kesihatan (HOPT), Cawangan-Cawangan Pakar (HODT), Pasukan Projek Persekutuan Negeri, JKR Selangor (S.O) serta kontraktor utama yang telah memberikan kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menjayakan projek ini. Terima kasih juga kepada Kementerian Kesihatan Malaysia selaku pelanggan yang telah memberikan kerjasama yang baik di sepanjang tempoh perlaksanaan projek ini.