Date: Isnin, March 11, 2024

Tarikh : Isnin, 11 Mac 2024

Bertempat di Dewan Emerald, Tingkat 18 Menara Maju Kuala Lumpur, pada 11 Mac 2024, 11.00 pagi telah berlangsung Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Penyerahan Surat Rasmi Perlantikan Pegawai Penguasa bagi projek Cawangan Kerja Keselamatan (CKS) yang melibatkan projek-projek seperti berikut; 

  1. Pembinaan Balai Polis Kuala Penyu Dan Perumahan, Beaufort, Sabah; dan
  2. Pembinaan     Pejabat     Daerah     Agensi    Antidadah Kebangsaan Seberang   Perai Selatan   Dan   Lokap   AADK Negeri Pulau Pinang.

Majlis telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Maria binti Marcus, Pengarah Cawangan Kerja Keselamatan selaku Pengurus Program Projek dengan penyerahan dokumen Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang berjaya iaitu: 

  1. Armada Baiduri Sdn. Bhd.; dan
  2. Vetga (M) Sdn. Bhd. (2 dalam 1).

serta penyerahan surat pelantikan Pegawai Penguasa kepada:

  1. Jurutera Daerah JKR Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang, YBrs. Ir. Shaiful Munir bin Leman.

Majlis turut dimeterai dengan sesi tandatangan dan ikrar Akur Janji antara kedua-dua kontraktor dan Pegawai Penguasa.

Turut hadir bersama adalah wakil Kementerian Dalam Negeri (KDN), YBrs. Tuan Azraai bin Zainuddin, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan dan wakil agensi yang terlibat, YDH SAC Low Kim Piew, Timbalan Pengarah Jabatan Logistik Dan Teknologi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta YBrs. Puan Elmariah Chung, Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang, Ketua Bahagian Pengurusan Projek 4 (PDRM), Ir. Zamilah binti Said, Ketua Pasukan Projek 1 (AADK), Puan Wan Zailawati binti Wan Ishak, serta barisan pasukan projek yang terdiri daripada HOPT dan wakil-wakil dari pejabat HODT pakar yang terlibat.

Pengarah CKS melalui ucapan perasmiannya menetapkan arahan kepada kontraktor supaya berazam untuk memberikan yang terbaik, sesuai dengan kepercayaan yang telah diberikan oleh Kerajaan. Kontraktor juga perlu mematuhi setiap spesifikasi yang telah dinyatakan dalam kontrak termasuk pengurusan keselamatan dan kesihatan di tapak bina, meningkatkan mutu kerja pembinaan, mengurangkan berlakunya kecacatan (defect) serta risiko kemalangan di tapak bina.

Besar harapan JKR agar kontraktor yang dilantik ini dapat memberi komitmen yang tinggi dalam memastikan pelaksanaan projek ini mengikut jadual dan menepati kualiti yang ditetapkan serta dapat memenuhi kehendak dan keperluan pihak pelanggan. Kontraktor juga adalah diingatkan bahawa prestasi mereka akan dinilai sepanjang tempoh kontrak dan Kerajaan juga berhak menamatkan kontrak ini sekiranya pihak kontraktor gagal menunjukkan prestasi kerja yang optimum atau melanggar mana-mana terma kontrak kelak. 

Akhir kata, setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini bermula dari Fasa Perancangan, Rekabentuk dan Perolehan dan kini projek ini siap sedia untuk memasuki Fasa Pembinaan.

p1

p2

p3

p4

p5

p6

p7

p8