Date: Rabu, March 6, 2024

1 Mac 2024 - Bertempat di Bayou Lagoon Park Resort Melaka, JKR Cawangan Senggara Fasiliti Bangunan (CSFB) telah mengadakan Mesyuarat Koordinasi dan Majlis Libat Urus Bersama Pelanggan Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF). Mesyuarat dan Majlis Libat Urus ini yang bermula pada 27 Februari hingga 1 Mac 2024 telah melibatkan semua Ketua Unit Tentera JKR Negeri dan ianya disempurnakan oleh Pengarah Cawangan Senggara Fasiliti Bangunan YBrs Ir. Ahmad Shahruzi Bin Ahmad.

Mesyuarat Koordinasi dan Majlis Libat Urus ini merupakan program rutin Cawangan Senggara Fasiliti Bangunan bagi menyelesaikan masalah dan segala isu-isu berbangkit berkaitan kerja-kerja senggaraan Pangkalan dan Kem-Kem Tentera di seluruh negara. Ianya di adakan 3 hingga 4 kali setahun. Majlis Libat Urus pada kali ini disertai oleh En. Muhammad Firdaus Bin Amram, Bahagian Pembangunan MINDEF, Lt. Kol Fadzly bin Fadzil, Markas Tentera Darat (MTD), Lt. Kol Hj Din bin Abu Bakar dan Mejar Shahizan bin Ahmad, Markas Tentera Udara (MTU), Kdr Mohd Khamarulzaim bin Khalid, Markas Tentera Laut (MTL) dan Lt. Kol Azarul Azuan bin Sulaiman dari Markas Bantuan Bersama.

Ir. Ahmad Shahruzi Bin Ahmad menyeru kakitangan CSFB khususnya dan Ketua Unit Tentera JKR Negeri untuk membuat persediaan dan perancangan yang rapi bagi kerja-kerja senggaraan pada tahun ini. Beliau juga mengingatkan kerja-kerja tersebut perlu dibuat segera dan hendaklah teratur bagi memastikan peruntukan yang diterima dapat dibelanjakan serta memenuhi kehendak jabatan dan pelanggan.