Date: Rabu, March 6, 2024
Program  Intensif Calon  Jurutera Profesional JKR 2024 telah diadakan pada 5 Mac 2024 bertempat di Dewan CREaTE dan telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ir. Ibrahim bin Esa, Pengarah Kanan Cawangan Jalan yang menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor Infra. Program ini merupakan kolaborasi strategik di antara Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan Teknologi, JKR (CREaTE) dan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM). Turut hadir sama dalam majlis ini YBhg. Dato’ Ir. Ts. Haji Masri bin Baharuddin, Pengarah CDPK, YBrs. Sr Awatif binti Abdul Ghaffar, Pengarah Bahagian Kompetensi, Pensijilan dan Akreditasi Kejuruteraan (BKPAK), YBrs. Ir. Hamzah bin Hasim, Setiausaha Lembaga Jurutera Malaysia, YBrs. Ir. Mohd Noramil bin Mohd Daril, Pengarah Eksekutif Lembaga Jurutera Malaysia serta Pegawai-Pegawai Kanan JKR.
 

Program  Intensif Calon  Jurutera Profesional JKR 2024 ini bertujuan untuk melahirkan lebih ramai pegawai profesional yang bertauliah, kompeten, dan berkredibiliti, bagi meningkatkan profesionalisme para pegawai dalam sektor awam khususnya JKR dan juga bagi melahirkan tenaga kerja mahir serta modal insan yang cemerlang, berketrampilan dan berdaya saing di peringkat global.  Seramai 400 orang calon yang terlibat daripada pelbagai disiplin (Awam, Elektrik dan Mekanikal) dalam kalangan Warga JKR Ibu Pejabat, JKR Cawangan, JKR Negeri dan Kader. 

Di samping itu, melalui program ini juga ianya dapat memberi penekanan dalam beberapa aspek seperti :

  1. Memberi panduan dan pendedahan kepada jurutera JKR untuk memiliki kelayakan profesional bertauliah untuk kemajuan kerjaya.
  2. Memberi panduan untuk memahami prosedur permohonan pendaftaran profesional melalui badan-badan profesional   iaitu Lembaga Jurutera Malaysia (BEM).
  3. Memberi panduan dan hands on kaedah penyediaan laporan Out Come Base BEM yang mana merupakan laporan berdasarkan kompetensi dan pengalaman kerja bagi persediaan menghadapi temuduga dan peperiksaan  bertulis  Jurutera Profesional.

Semoga usaha CREaTE dan BEM dalam menjayakan program ini dapat mewujudkan lebih ramai lagi pegawai JKR yang berkredibiliti dan kompeten selaras dengan hasrat Jabatan.