Date: Wednesday, January 24, 2018

Majlis Amanat Ketua Pengarah Kerja Raya telah berlangsung pada 24 Januari 2018 (Rabu) bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid. Majlis bermula sekitar jam 8.30 pagi dengan dihadiri oleh Pegawai Pengurusan Atasan Jabatan Kerja Raya (JKR) iaitu YBhg. Dato' Ir. Dr. Meor Abdul Aziz bin Hj. Osman (TKPKR Sektor Infra), YBrs. Ir. Kamaluddin bin Haji Abdul Rashid (TKPKR Sektor Bangunan), YBrs. Sr Ratna binti Haji Mahyuddin (TKPKR Sektor Pakar) serta pengarah-pengarah kanan, pengarah – pengarah cawangan & bahagian, pengarah – pengarah JKR Negeri serta warga kerja JKR yang lain.

YBhg. Dato’ Sri KPKR memulakan amanat beliau dengan memanjatkan kesyukuran kehadrat ilahi selain mengucapkan setinggi – tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga kerja JKR kerana bersama – sama melayari kepayahan dan cabaran sepanjang tahun 2017 demi menggalas tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Selain itu, tahun 2018 telah diisytiharkan oleh YAB Perdana Menteri sebagai “Tahun Kejayaan Dan Keberhasilan Yang Mengagumkan Atau Year of Success and Impressive Result” di mana semua penjawat awam diminta memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi menghasilkan perkhidmatan yang berkualiti dan cemerlang.

Antara intipati ucapan YBhg. Dato’ Sri KPKR :

1. MUSIBAH BANJIR - Awal tahun 2018 kebanyakan negeri – negeri di pantai timur dilanda musim banjir dan mengakibatkan banyak laluan ditutup. Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) diwujudkan bertujuan memantau keadaan terkini jalan – jalan yang dilanda banjir selain warga kerja JKR sama ada di Ibu Pejabat, Negeri dan Daerah senantiasa bersiap siaga berhadapan situasi ini.

2. PRESTASI PELAKSANAAN PROJEK RMK 11 – Sehingga 31 Disember 2017, JKR telah membelanjakan sebanyak RM 5.403 bilion (95.82%) daripada jumlah peruntukan yang diterima iaitu RM 5.666 bilion. Selain itu, sebanyak 172 projek (78%) berjaya disiapkan pada tahun 2017.

3. PENGIKTIRAFAN DAN KEJAYAAN - JKR telah memperoleh pelbagai pengiktirafan dari dalam dan luar negara. Antaranya ;

a) Pengiktirafan

i) 28th International Invention, Innovation & Technology Exhibition 2017 (ITEX) – Lima (5) produk memenangi pingat emas dan tujuh (7) produk memenangi pingat perak

ii) MINO Best Project Award 2017 kategori high volume road untuk Projek Central Spine Road (CSR) Pakej 3, bersempena 15th Road Engineering Association Of Asia And Australasia (REAAA) Conference 2017 Bali, Indonesia.

iii) Menara Kerja Raya telah berjaya merangkul dua (2) anugerah iaitu Green Construction Award dan The Best Project Award (Building Project-Major Category) di The Malaysian Construction Industry Excellence MCIEA 2017.

b) Kejayaan

i) Penyiapan Projek Jalan Pintas Rawang (Rawang by Pass)

ii) Pembinaan projek sekolah daif menggunakan kaedah IBS

iii) Penggunaan teknologi baru CupLump Modified Asphalt (CMA) bagi pembinaan Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai, Kelantan

c) Teknologi Perancangan dan Pembinaan

i) Penggunaan perisian komputer Building Information Modeling (BIM) bermula dari proses perancangan, reka bentuk, pembinaan sehinggalah kepada pengurusan bangunan bagi Projek Hospital Parit Buntar.

d) Inisiatif yang digariskan

i) Pengwujudan Inisiatif 3 Dalam 1 iaitu Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC), Penyata Akaun Muktamad (SOFA) dan Lukisan Siap Bina (As-Built Drawing) disediakan dan diserahkan kepada pelanggan pada masa yang sama.

ii) Program penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bersekali dengan dokumen kontrak.

4. PETUNJUK PRESTASI UTAMA (KPI) JABATAN – Tujuh (7) KPI utama yang berjaya dicapai pada tahun 2017 adalah seperti berikut;

i) Bilangan projek yang mempunyai EOT tidak melebihi 30%

  • Sebanyak 51 projek telah mendapat EOT daripada keseluruhan 217 projek yang patut siap iaitu bersamaan dengan 23.5% pencapaian EOT dimana tidak melebihi sasaran yang ditetapkan.

ii) Sekurang-kurangnya 50% projek siap mestilah disiapkan secara 3 dalam 1. (Melibatkan Sijil Perakuan Siap Kerja, Lukisan Siap Terbina (as-built drawing) dan juga Sijil Perakuan Muktamad (Statement of Final Account) kepada pelanggan.

  • Sebanyak 95 projek telah diserahkan bersekali dengan lukisan siap bina (as-built) dan menyediakan Penyata Akaun Muktamad (SoFA).Daripada jumlah tersebut, sebanyak 69 projek yang diserahkan dalam tempoh kurang dari 6 bulan dari tarikh siap projek, iaitu merupakan 72.63% pencapaian serahan secara 3 dalam 1.

iii) KPI Jabatan telah mensasarkan sebanyak 1 projek keluar SST setahun yang mengguna pakai kuasa tenaga boleh diperbaharui pada perabut jalan dan lampu jalan.

  • Sebanyak dua (2) projek jalan yang menggunapakai kuasa tenaga yang boleh diperbaharui telah berjaya keluar SST dan jumlah ini telah melebihi KPI Jabatan yang telah ditetapkan.

iv) 30% Projek IBS menggunakan Komponen Buatan Kilang.

  • Sebanyak 16 projek iaitu 43.24% telah dikenal pasti menggunakan Komponen Buatan Kilang daripada sejumlah 37 projek pada tahun ini.

v) 30 bilangan reka bentuk baru PAP Versi 2 (2017) dibangunkan menepati sasaran 2017

  • Pencapaian 100% KPI ini direalisasikan pada November 2017, lebih awal daripada tarikh sasaran sebenar.

vi) 10% pengurangan bilangan reka bentuk PAP versi 1 yang tidak patuh IBS

  • Sebanyak 10 daripada 22 bilangan reka bentuk PAP yang tidak patuh IBS menunjukkan 10% pengurangan bilangan reka bentuk PAP telah mencapai sasaran yang ditetapkan.

vii) 10% daripada 30 reka bentuk baru PAP Versi 2 (2017) telah dibangunkan menggunakan BIM

  • KPI ini telah berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan dan semua model BIM-PAP telah selesai dan dimuatnaik ke ECOMS.

5. SASARAN PETUNJUK PRESTASI UTAMA (KPI) JABATAN 2018

Antara KPI JKR yang perlu dicapai pada tahun 2018 adalah:

i) 40% Projek IBS menggunakan Komponen Buatan Kilang.

ii) Tambahan 30 bilangan reka bentuk baru PAP Versi 2.3 2018 dibangunkan. Sehingga hujung tahun 2020, sebanyak 100 bilangan reka bentuk baru PAP Versi 2 akan dihasilkan.

iii) Pelaksanaan Kontrak Berasaskan Prestasi (PBC) mengenai penyelenggaraan Jalan Persekutuan bagi meningkatkan kualiti turapan jalan. 100% lokasi yang dirawat mempunyai IRI ≤ 2.5m / km setiap tahun bagi setiap zon.

iv) Bilangan projek yang mempunyai EOT perlulah tidak melebihi 20%.

v) Sekurang-kurangnya 60% dari jumlah projek siap mestilah disiapkan secara 3 dalam 1, iaitu; penyerahan projek dan lukisan siap bina (as-built drawing) kepada pelanggan dan juga menyediakan Penyata Akaun Muktamad (Statement of Final Account).

vi) Sebanyak 10 bilangan projek Jalan yang dikeluarkan SST sebagaimana yang dijadualkan dalam Q-Plan.

vii) Kemajuan kerja fizikal untuk Projek Menaiktaraf Lebuhraya Pulau Indah siap 100%.

viii) Bilangan Projek Sekolah Daif yang ditetapkan kemudian perlu disiapkan 100%.

6. PENGURUSAN RISIKO - Amalan Pengurusan Risiko diaplikasikan kepada semua projek yang dilaksanakan oleh JKR yang bernilai melebihi RM500, 000.00 bertujuan untuk memastikan risiko utama diuruskan dengan berkesan oleh pengurus projek serta ahli pasukan projek dengan mengambil tindakan secara proaktif terhadap faktor-faktor risiko yang boleh memberi kesan negatif terhadap pencapaian objektif projek.

7. MEMBUDAYAKAN KONSEP WALA’ DAN TABAYYUN – YBhg. Dato’ Sri KPKR menyeru agar semua warga kerja JKR memupuk dan membudayakan prinsip wala’ dan tabayyun demi mengembalikan kegemilangan jabatan serta memacu ke arah kemajuan yang lebih gemilang. Bertepatan dengan konsep tabayyun, warga kerja JKR haruslah menyelidiki dahulu sesuatu berita dengan teliti, sebelum mempercayai dan membuat keputusan untuk menularkannya.

8. INTEGRITI - Bahagian Integriti Cawangan Dasar Dan Pengurusan Korporat, Ibu Pejabat JKR Malaysia telah mengambil inisiatif untuk menyediakan  bunting integriti yang bertemakan “Tingkatkan Integriti, Rakyat Tidak Sangsi, Serlahkan Profesionalisme Diri Dan Organisasi” sebagai salah satu langkah untuk membudayakan amalan integriti di kalangan warga JKR. Bunting ini akan diedarkan kepada setiap Cawangan, JKR Negeri dan Daerah untuk dipamer dilokasi yang sesuai di pejabat.

9. HARAPAN - Ke arah Industrial Revolution 4.0 yang memerlukan penghayatan dan pembudayaan kepada kemahiran baru berasaskan teknologi maklumat dan aplikasi mudahalih, warga kerja JKR perlu memahirkan diri dan menggunakan media sosial seperti facebook dan twitter dengan berkesan bagi meningkatkan persepsi JKR di kalangan rakyat dan mencapai serta menggunakan maklumat dengan pantas lagi efektif.

Di akhir amanat YBhg. Dato’ Sri KPKR, beliau menyeru semua lapisan warga JKR untuk mempertingkatkan keazaman dan semangat bagi memperkasa dan mengembalikan zaman kegemilangan JKR.

Majlis bersurai sekitar jam 9.45 pagi.

Untuk muat naik slaid iringan, sila klik di sini.