English

Menjelang Ramadhan 1434H bersamaan dengan 2 Julai 2013, satu lagi masjid telah disiapkan dan diserahkan  kepada YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan oleh Pengarah JKR Negeri Sembilan, YBhg Dato Ir Dr Roslan bin Md Taha. Ini menjadikan tiga buah masjid berjaya disiapkan dengan jayanya oleh JKR Negeri Sembilan bagi setengah tahun pertama 2013. Satu majlis penyerahan replika kunci beserta dengan solat Maghrib dan Isyak pertama yang dimamkan Sheikh Dr Solah Mohd Zaki yang juga pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut diadakan bersama tetamu dan ahli kariah yang hadir seramai lebih 1500 orang. Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, YB Sohibus Samahah Dato Haji Mohd Yusof bin Haji Ahmad, turut membuat pengisytiharan solat Jumaat pertama bagi Masjid Jamek Rantau baru ini.

Sejajar dengan Ad-deen : A way of Life atau satu cara kehidupan, Masjid Jamek Rantau ini direkabentuk oleh KPP Arkitek En Mohd Yazid M Nasir dan pegawai-pegawai daripada Bahagian Arkitek JKR Negeri Sembilan berkonsepkan seni bina Islam di Sepanyol, Andalusia dan Timur Tengah dengan cetusan idea daripada YAB Menteri Besar Negeri Sembilan sendiri. YAB Menteri Besar Negeri Sembilan selaku Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) serta Pengerusi masjid-masjid di seluruh Negeri Sembilan amat bangga dengan keunikan masjid yang komprehensif ini yang boleh dipanggil Balai Islam Rantau, lengkap dengan dewan komuniti menempatkan 500-700 orang, pejabat, bilik mesyuarat, klinik, bilik komputer, bilik vvip, kedai koperasi, rumah imam dan bilal, bilik mandi jenazah, bilik nikah, bilik utiliti, bilik imam beserta tempat wuduk, tandas lelaki dan wanita, anjung santai, laluan OKU serta dataran limpah masjid. Kemudahan yang disediakan bertepatan dengan keperluan sebuah komuniti Islam sama ada untuk beribadah, majlis perkahwinan mahupun pelbagai aktiviti lain demi keimarahan masjid seperti dituntut Islam.

Masjid yang berkapasiti 1800 orang dengan harga sebanyak RM12.4 juta ini turut dilengkapi dengan sistem hawa dingin dan alat audio visual termasuk hiasan dalaman di samping sebuah menara setinggi 27 m yang boleh diakses ke anjung santai di tingkat atas.
Satu pertunjukan video berkenaan pembinaan masjid Jamek Rantau dan kemudahan-kemudahan yang disediakan turut ditayangkan kepada seluruh tetamu yang hadir.

Majlis penyerahan projek turut dihadiri oleh YB Tuan Hj Khairy Jamaluddin bin Abu Bakar, Menteri Belia dan Sukan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Rembau, YB Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Sembilan, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Pegawai Kewangan Negeri, Ahli-ahli YB Adun Chembong, Adun Gemencheh, Adun Port Dickson, Adun Pertang, Adun Ampangan, Adun Linggi, Ketua Polis Negeri Sembilan, Pengarah JHEAINS serta ketua-ketua jabatan peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah Seremban.

Semoga Ramadhan yang dinanti-nantikan khususnya oleh penduduk sekitar Rantau menjadi lebih bermakna dengan siapnya masjid jamek baru ini di mana pelbagai program telahpun disusun termasuklah solah sunat Tarawih.

Sila klik di sini untuk laporan bergambar dan video pembinaan Masjid Jamek Rantau.

Related Posts