English

Tanggal 3 Jun 2013 telah menyaksikan sebuah lagi masjid diserahkan kepada YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan oleh Pengarah JKR Negeri Sembilan, YBhg Dato Ir Dr Roslan bin Md Taha. Ini menjadikan dua buah masjid berjaya disiapkan dengan jayanya oleh JKR Negeri Sembilan bagi setengah tahun pertama 2013. Satu majlis penyerahan replika kunci beserta dengan solat Maghrib dan Isyak pertama turut diadakan dengan ahli kariah yang hadir seramai lebih 600 orang. Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, YB Sohibus Samahah Dato Haji Mohd Yusof bin Haji Ahmad, turut membuat pengisytiharan solat Jumaat pertama bagi Masjid Bandar Springhill pada minggu tersebut.

Masjid Bandar Springhill berharga RM4.9 juta ini direkabentuk berkonsepkan bangunan limas traditional dan kontemporari dengan kapasiti sebanyak 1500 orang jemaah iaitu 500 orang bagi ruang solat utama manakala selebihnya di ruang lempah. YAB Menteri Besar Negeri Sembilan selaku Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) serta Pengerusi masjid-masjid di seluruh Negeri Sembilan amat berpuas hati dengan kualiti pembinaan dan rekabentuk masjid yang cantik. Memang tidak dinafikan bahawa Masjid Bandar Springhill ini juga turut mendapat tempat pertama bagi Anugerah Pengurusan Pembinaan Terbaik bagi projek bangunan lebih RM500 ribu dan kurang RM5 juta yang dimenangi oleh Jurutera Daerah Port Dickson, Ir Suhaizad bin Sulaiman sempena Mesyuarat Pengawai-pegawai Kanan JKR Malaysia di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Di samping bangunan utama masjid yang turut menempatkan bilik imam beserta tempat wuduk, bilik utiliti, tempat wuduk luar, tandas lelaki dan wanita, minaret 23 m tinggi, bilik mandi jenazah dan laluan OKU, masjid turut dilengkapi dengan sebuah bangunan dewan serbaguna yang boleh menempatkan 500 orang, pejabat serta  bangunan memasak sama ada untuk majlis kenduri biasa mahupun perkahwinan.
Majlis penyerahan projek turut dihadiri oleh YB Dato Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Ahli-ahli YB Adun Port Dickson, Adun Labu, Adun Chembong, Adun Gemencheh, Adun Ampangan, Adun Pertang, Ketua Polis Negeri Sembilan, Pengarah JHEAINS serta ketua-ketua jabatan peringkat Negeri dan Daerah Port Dickson.

Semoga syiar Islam lebih menyemarak di Negeri Sembilan InsyaAllah.

Sila klik di sini untuk laporan bergambar.

Related Posts