English

Assalamualaikum w.b.t

Salam sejahtera.

Alhamdulillah puji syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya, kita warga  JKR yang beragama Islam, masih diberi kesempatan untuk bertemu lagi bulan Ramadhan al-Mubarak 1434 Hijrah yang penuh berkat dan rahmat ini.

Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah bulan perjuangan melawan hawa nafsu. Umat Islam bukan sahaja dituntut untuk menahan lapar dan dahaga, malah kita juga digalakkan melatih diri untuk bersabar dan menjaga kehormatan diri. Insya Allah, ibadat puasa yang dilakukan bersama ibadat sunat yang lain seperti bertarawih dan bertadarus mampu membersihkan jiwa dan diri kita serta membentuk rohani dan jasmani yang suci.

Pada bulan Ramadhan, rezeki yang dikurniakan Allah S.W.T turut melimpah ruah. Gunakanlah peluang dan kelebihan ini dengan banyak menabur bakti, membantu fakir miskin, anak-anak yatim dan golongan yang kurang bernasib baik daripada kita. Amalkanlah sedekah kerana Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala berlipat kali ganda kepada hambaNya yang ikhlas menghulurkan pertolongan kepada mereka yang memerlukan.

Saya juga menyeru kepada seluruh warga JKR, marilah kita mengukuhkan hubungan silaturrahim bersama anggota keluarga, sanak saudara, jiran tetangga dan rakan sepejabat. Bersama-samalah kita mengenepikan perbezaan pendapat dan ideologi untuk mempererat hubungan sesama kita demi perpaduan seluruh umat Islam di negara Malaysia tercinta ini.

Akhir kata, saya mengucapkan, selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa. Walaupun dalam menahan lapar dan dahaga, tugasan harian di pejabat haruslah kita selesaikan dengan sempurna. Perbanyakkan amal jariah, jangan lupa zakat fitrah dan semoga Allah SWT menerima segala ibadat dan amalan kita sepanjang bulan Ramadhan ini.

Wabillahi taufik wal hidayah

Wassalamualaikum w.b.t


(DATO’ SERI IR. HAJI MOHD NOOR BIN YAACOB)

Related Posts