English






Salam sejahtera dan Salam 1 Malaysia

Syukur Alhamdulillah ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya kita berpeluang menikmati dan meraikan tahun baru 2014 serta diberi peluang untuk terus melaksanakan tanggungjawab sebagai penjawat awam di Jabatan Kerja Raya Malaysia. Segala kenangan manis dan pahit sepanjang 2013 perlu dijadikan iktibar dan pedoman yang berguna untuk memastikan kesinambungan fungsi JKR sebagai agensi teknikal utama di Malaysia.

Pada kesempatan ini, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga kerja JKR yang telah memberi komitmen yang tinggi dan kerjasama yang padu untuk menjayakan setiap program dan projek sepanjang tahun lalu. Saya yakin bahawa warga kerja JKR akan terus berusaha dan bersemangat tinggi melaksanakan setiap perancangan serta mengharungi semua cabaran demi memenuhi kepuasan pelanggan dan kehendak stakeholders.

Mengimbau kembali tempoh 12 bulan yang dilalui pada tahun 2013, pelbagai kejayaan telah kita tempa dalam pelaksanaan projek, khidmat nasihat teknikal dan pengurusan aset dan fasiliti. Namun demikian, terdapat juga beberapa insiden buruk berlaku seperti kejadian runtuhan struktur bumbung dan siling bangunan yang sedikit sebanyak mencalar kredibiliti JKR apabila banyak pihak tampil dengan tuduhan dan kritikan. Saya berharap agar warga JKR mengambil iktibar dan menjadikannya cabaran yang boleh mendorong tindakan penambahbaikan yang drastik untuk kita ambil sehingga ke peringkat akar umbi.

CABARAN & TRANSFORMASI JKR

Selari dengan agenda transformasi negara; transformasi kerajaan, transformasi ekonomi, transformasi politik dan transformasi sosial, JKR perlu sensitif dengan kehendak rakyat Malaysia yang semakin peka, berpendidikan tinggi dan mempunyai espektasi yang kian meningkat terhadap sistem penyampaian Perkhidmatan Awam. Saya menyeru supaya kita sentiasa bersedia melaksanakan transformasi secara komprehensif merangkumi aspek pemikiran, sikap dan budaya kerja bersesuaian dengan intipati program Penyemarakan Transformasi Perkhidmatan Awam Kerajaan.

JKR juga perlu lebih agresif dalam menangani persepsi awam. Berikutan kewujudan beberapa agensi baru yang menawarkan peranan yang hampir sama dengan JKR, orang awam sering keliru dan menyangkakan projek yang dikendalikan agensi lain adalah diuruskan oleh JKR. Oleh itu, kita harus meningkatkan akauntabiliti Jabatan dengan menyemak, mengkaji semula dan memperkemas budaya kerja sedia ada untuk meningkatkan kebolehpercayaan rakyat kepada perkhidmatan Jabatan seterusnya memperkukuh kedudukan JKR sebagai sebuah organisasi yang dinamik, kejat, terbuka, tangkas dan berkeupayaan tinggi.

Bagi memenuhi keperluan pembangunan fizikal negara, JKR perlu bekerjasama dan berusaha untuk mencapai keseimbangan dalam aspek perkongsian kerja dengan agensi-agensi lain. JKR juga perlu meneroka bidang kerja yang lebih luas dan terlibat dengan projek-projek pembangunan yang lebih kompleks untuk memberi daya saing kompetitif dalam menterjemah fungsi dan kemampuan Jabatan.

Berikutan dengan senario kewangan negara pada masa kini, saya menyeru agar JKR bertindak lebih efisien dengan mengamalkan perbelanjaan berhemah serta mengelakkan pembaziran terutamanya dalam pengurusan projek. Kita seharusnya mengambil pengajaran terhadap laporan oleh Ketua Audit Negara 2012 dengan tidak mengulangi kesilapan yang sama serta bertindak lebih cekap dan telus untuk memastikan tiada lagi pembaziran kos berlaku akibat kelewatan pelaksanaan projek dan kualiti kerja yang tidak memuaskan.

KEBERSEDIAAN WARGA JKR UNTUK BERUBAH

Berpaksikan falsafah ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, Kerajaan sentiasa menyeru penjawat awam agar memberikan perkhidmatan terbaik selaras dengan peredaran dan kehendak semasa yang mempunyai nilai tambah kerana setiap penjawat awam adalah ejen transformasi paling hadapan dan perantara utama antara rakyat dan kerajaan. Perubahan yang dituntut perlu diaktifkan bermula daripada peringkat perancangan strategik seterusnya ke tugas-tugas rutin berasaskan pemikiran dan operasi. Kerjasama sebagai satu pasukan harus diperkasa dan tradisi bekerja secara ‘silo’ perlu dihapuskan untuk menghasilkan perkhidmatan yang lebih responsif dan peka kepada kehendak dan kepuasan pelanggan.

Warga JKR perlu bersedia membuat perubahan dan proses ini boleh diibaratkan seperti penggilapan berlian yang berterusan sehingga mampu melahirkan bakat-bakat istimewa dalam kalangan penjawat awam. Kita perlu menyokong usaha tanpa henti Kerajaan untuk meningkatkan kompetensi, prestasi, produktiviti dan daya inovasi penjawat awam ke arah menghasilkan warga Jabatan yang lebih bertenaga, berilmu, berwibawa, inovatif dan kreatif.

HARAPAN & ILTIZAM 2014

Akhir kata, untuk tahun 2014 ini, warga JKR perlu melipatgandakan usaha merakyatkan perkhidmatan yang diberikan. Harapan saya, dengan sokongan serta kerjasama erat serta kesungguhan daripada semua, JKR mampu untuk terus melangkah yakin dalam usaha meningkatkan keberkesanan dasar-dasar, kelancaran pelaksanaan program Jabatan, penghayatan visi, misi, piagam pelanggan dan apa jua inovasi bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Yang utama, imej JKR sentiasa dipandang positif sebagai sebuah agensi kerajaan yang mampu melaksanakan kewajipan tugas dengan cemerlang bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa. Justeru, ini merupakan tanggungjawab yang mesti kita galas bersama pada masa akan datang.

SELAMAT TAHUN BARU 2014 kepada seluruh warga JKR.





Dato' Seri Ir. Hj. Mohd Noor bin Yaacob
KETUA PENGARAH KERJA RAYA MALAYSIA

Related Posts