English



Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam 1 Malaysia

Syukur alhamdulillah ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya kita dapat menyambut Tahun Baru 2015 serta diberi peluang untuk terus melaksanakan tanggungjawab di Jabatan Kerja Raya Malaysia demi Negara.

Pada penghujung Tahun 2014, bila mana kita sedang bertungkus lumus untuk menutup akaun Tahun 2014, negara telah dikejutkan dengan satu musibah berbentuk banjir besar yang dianggap terburuk dalam sejarah oleh banyak pihak. Musibah ini merupakan ujian getir bagi Negara dan JKR yang bertanggungjawab ke atas fasiliti-fasiliti infrastruktur penting negara yang rosak teruk akibat landaan banjir ini. Akan tetapi, sebagaimana api memusnahkan, ia juga menempa dan menajamkan mata pedang. Begitulah juga dengan JKR. Musibah banjir ini telah menunjukkan kepada negara betapa kita masih amat diperlukan dan bagaimana Warga JKR telah bersatu dalam krisis dengan semangat kerjasama dalam pasukan yang begitu jitu, menangani masaalah yang menyaksikan banyak jalan-jalan dan jambatan ditenggelami banjir, runtuh dan rosak teruk termasuk keruntuhan cerun-cerun. Ada pegawai yang ditugaskan secara khas di Negeri yang paling teruk terjejas walaupun dalam bercuti. Sebagaimana kata pujangga `when the going gets tough, only the tough gets going’.

Di  samping khidmat di  pangkalan hadapan, kita juga  bersengkang mata  menguruskan Bilik   Gerakan   Bencana JKR yang  dibuka 24jam bermula 24 Disember 2014 dan kakitangan bertugas secara syif, walaupun ada yang bercuti, baru bersalin dan keluarga ditimpa banjir. Bilik Gerakan Bencana JKR telah menjadi pusat maklumat banjir dengan status jalan-jalan ditutup dan laluan alternatif yang boleh dilalui oleh pengguna jalan yang dikemaskini berkala dan bila mana berlaku perubahan status. Buat kali pertama, pegawai-pegawai komunikasi kita bersama-sama dalam Gerakan Bencana menyampaikan maklumat-maklumat terkini melalui media sosial untuk panduan orang ramai. Untuk memudahkan pencarian dan paparan lokasi bencana, satu inovasi melibatkan paparan grafik di dalam peta lokasi bencana yang dipaparkan di Portal Rasmi Pengurusan Bencana JKR telah dihasilkan. Pemusatan informasi banjir ini begitu efektif sehingga menjadi pusat rujukan oleh pengguna dan telah dirujukkan oleh YAB Perdana Menteri sendiri.

Di samping tugas-tugas rasmi, JKR juga bersama KKR telah mengusahakan misi kemanusiaan menghantar bantuan barangan keperluan asas dan wang tunai terus ke mangsa-mangsa banjir di negeri-negeri terlibat. Mereka telah melalui jalan yang sukar untuk menyampaikan bantuan yang telah diterima dengan begitu terharu oleh mangsa-mangsa banjir.

Saya amat terharu dengan usaha-usaha murni tersebut dan ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga di atas usaha-usaha ini. Saya berharap agar kerjasama unggul sebegini yang telah terbukti di musim krisis dapat diteruskan di bidang tugasan harian kita untuk membentuk imej baru JKR yang kuat dan bersatu dalam melaksana dan menjayakan program-program negara dengan berpandukan Strategic Framework 2012 – 2015 yang telah digariskan dengan 5 Tema Strategik.

Pada 1 Mei 2014, penstrukturan semula jabatan telah dikuatkuasakan setelah mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam dan pengedaran Waran Perjawatan K88 Tahun 2014 oleh Kementerian Kewangan. Penstrukturan semula ini bertujuan memantapkan peranan jabatan dalam menguruskan aset kerajaan daripada pewujudan sehingga pelupusan. Ia juga bertujuan mewujudkan integrasi dan sinergi dalam aspek pengurusan projek dan pengurusan aset untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada agensi pelanggan dan rakyat.

Sehingga 30 November 2014, jabatan telah melaksanakan sebanyak 5,096 projek dalam RMK10 dengan pecahan sebanyak 448 projek (9 peratus) masih dalam peringkat pra-pembinaan, 368 projek (7 peratus) dalam peringkat pembinaan dan sebanyak 4,280 projek (84 peratus) telah disiapkan. Jabatan telah menerima peruntukan sebanyak RM3.699 bilion yang mana sebanyak RM2.770 bilion (74.88 peratus) telah berjaya dibelanjakan. Sebanyak 2,488 projek akan dilaksanakan pada tahun 2015 yang melibatkan sebanyak 1,868 projek sedia ada daripada tahun lalu dan 620 projek yang akan dimulakan pada tahun ini. Pada tahun ini juga, sebanyak 490 pembinaan baru akan dilaksanakan oleh jabatan untuk 20 kementerian di negara ini.

Pada tahun lalu juga, Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE), Cawangan Kerja Kesihatan (CKK), Cawangan Kejuruteraan Mekanikal (CKM) dan Cawangan Pengurusan Korporat (CPK) yang sebelum ini terletak di bangunan lama JKR serta Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur  (CKAS)  yang  menyewa di  Mid  Valley City  telah  berpindah  ke  Kompleks  Kerja  Raya 2 (KKR2)  mulai  13 Oktober sehingga 9 Disember 2014. Cawangan-cawangan selebihnya dijangka berpindah awal tahun ini dan setiap tingkat bangunan KKR2 termasuk kantin serta lot parkir bakal beroperasi sepenuhnya pada bulan Mac 2015.

Pada kesempatan ini juga, saya menyampaikan salam takziah kepada warga jabatan terutamanya yang bertugas di Kelantan, Terengganu, Perak dan Pahang yang terlibat dengan banjir hujung tahun lalu. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Semoga tabah menghadapi dugaan yang berlaku.

Akhir kata, apabila kita memasuki tahun baru, lazimnya azam, hala tuju, visi, wawasan atau apa jua terma yang digunakan untuk melambangkan matlamat baru yang ingin dicapai juga harus turut dinilai, diperhalusi dan diperbaharui. Untuk mendapatkan kejayaan dalam mencapai  matlamat yang diinginkan, kita perlu bekerja sebagai satu pasukan dengan semangat yang jitu. Jadilah warga JKR yang berintegriti, berinovasi, berproduktiviti tinggi demi untuk kecemerlangan jabatan.  Sekali lagi, terima kasih yang tidak terhingga untuk semua warga JKR di atas khidmat bakti, pengorbanan dan daya usaha yang dicurahkan untuk jabatan.

Selamat Tahun Baru 2015 kepada seluruh warga JKR.

Sekian. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.



DATO' Ir. ANNIES BIN MD ARIFF
Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia

Related Posts