English

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam 1Malaysia

Kepada semua warga Jabatan Kerja Raya Malaysia yang berbangsa Tiong Hua, saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina & Gong Xi Fa Cai.

Sudah menjadi kelaziman sambutan Tahun Baru Cina pasti diraikan dengan penuh meriah bersama keluarga, sanak saudara serta jiran tetangga.  Walaupun terikat dengan jadual tugasan kerja yang padat, saya percaya tradisi berkongsi sambutan perayaan ini harus sentiasa disemarakkan.

Saya menyeru kepada seluruh warga JKR agar sentiasa menyuburkan perpaduan sesama kita melalui prinsip penerimaan dan toleransi. Kepelbagaian etnik warga Jabatan merupakan kelebihan kepada Jabatan yang membolehkan pelaksanaan tugas dirangka dan dijayakan mengikut perspektif yang lebih luas dan menyeluruh.

Sempena kedatangan tahun kuda yang melambangkan simbol ketekunan, ketangkasan dan ketepatan, saya berharap agar kita semua berusaha lebih gigih mencapai sasaran Jabatan melalui semangat kerja berpasukan yang tinggi dan saling melengkapi demi melonjakkan JKR sebagai agensi berdaya saing kompetitif dalam industri pembangunan negara.

Kepada mereka yang pulang ke kampung halaman tidak kira sama ada untuk meraikan Tahun Baru Cina ataupun bercuti bersama keluarga, pastikan pejabat dan rumah dikunci sebaiknya serta jangan lupa menghubungi balai polis berdekatan untuk memaklumkan ketiadaan kita. Saya juga berharap seluruh warga JKR yang membawa kenderaan agar berhati-hati di sepanjang perjalanan untuk mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini.

Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua dan semoga tahun ini akan memberi kesihatan, mendatangkan kebahagiaan dan mengekalkan kemakmuran buat semua.

Sekian.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Related Posts