English
 
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam 1Malaysia
 
Yang Berbahagia Dato’ Sr. Haji Abdull Manaf bin Haji Hashim
Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pakar
 
Yang Berbahagia Dato’ Ir. Haji Adanan bin Mohamed Hussain
Timbalan Ketua Pengarah Sektor Bisnes
 
Pengarah-Pengarah Kanan,
Pengarah-Pengarah Cawangan, 
Pengarah-Pengarah Bahagian,
Pengarah-Pengarah Negeri, 
Pegawai-Pegawai Kader,
Jurutera-Jurutera Daerah,
 
Serta tidak ketinggalan semua warga JKR yang berkesempatan hadir di dewan ini serta yang mengikuti siaran langsung perhimpunan pertama kita pada tahun 2015 ini, di pejabat-pejabat negeri dan cawangan-cawangan seluruh negara.
 
 
PENDAHULUAN
 
1.Di pagi yang penuh berkat ini, saya memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah SWT kerana dengan izin serta limpah RahmatNya, dapat kita bersama-sama berhimpun di dalam Majlis Perhimpunan KPKR Bersama Warga JKR pada pagi ini dalam keadaan sihat wal’afiat dan penuh semangat. Alhamdulillah, kita juga telah diberikan kekuatan menempuhi liku-liku perjalanan hidup sepanjang Tahun 2014 dan masih diberi peluang untuk melakar ke tahun yang baharu dengan mengambil iktibar serta pedoman daripada pengalaman tahun-tahun yang telah berlalu, insya Allah supaya tahun ini akan lebih baik dari tahun-tahun yang sudah berlalu.
 
2.Saya juga dengan ini merakamkan sepenuh penghargaan dan tahniah kepada seluruh warga JKR yang telah memberi komitmen padu dan kerjasama yang erat dalam menjayakan semua program dan tanggungjawab di sepanjang tahun 2014. Saya merasa amat bertuah kerana mempunyai barisan pegawai dan kakitangan yang berwibawa dan berintegriti bagi memastikan JKR terus kekal relevan dalam industri pembangunan fizikal negara. Saya tidak mungkin boleh melakukan seorang diri tanpa sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh semua yang ada di depan saya pagi ini. 
 
Tuan-tuan dan puan-puan saya kasihi sekalian,
 
PENGURUSAN BANJIR JKR
 
3.Sepertimana yang semua sedia maklum, walaupun tahun 2014 telah melabuhkan tirainya namun di tahun baru ini, Negara masih belum lagi pulih daripada kesan bencana banjir besar yang telah menimpa beberapa buah negeri sejak penghujung tahun lalu. Banjir yang dianggap terburuk dalam sejarah Negara oleh banyak pihak ini merupakan ujian getir bagi Negara dan juga buat jabatan ini yang merupakan agensi kerajaan yang bertanggungjawab ke atas kebanyakan dari fasiliti-fasiliti infrastruktur Kerajaan. Namun begitu, di sebalik setiap musibah ada petunjuk. Setiap apa yang berlaku adalah Ujian Allah swt ke atas hamba-hambaNya. Banjir ini telah menunjukkan kepada orang ramai betapa pentingnya peranan JKR dalam menangani isu jalan dan jambatan yang rosak ditenggelami air, jalan runtuh, runtuhan cerun serta kerosakan pada bangunan dan fasiliti kerajaan. 
 
4.Kejadian banjir ini menyaksikan betapa utuhnya warga JKR bersatu padu dengan semangat kerjasama yang jitu di pejabat mahupun di lapangan untuk menyelesaikan segala masaalah melibatkan infrastruktur yang berlaku di sepanjang bencana ini. 
?Pembinaan Jalan-jalan lencongan dan pembaikian cerun untuk laluan kritikal seperti Jalan Raya Timur Barat (FT04) yang telah ditutup pada 23hb Disember 2014 melibatkan 4 (empat) lokasi telah berjaya dibuka semula pada 5hb Jan 2015, iaitu; dalam masa 13hari sahaja; 2 (dua) hari lebih awal dari tarikh yang telah disasarkan.
?Jambatan runtuh di Kemaman (Chukai – Air Putih), Terengganu digantikan dengan jambatan sementara (Bailey Bridge) telah dibina dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam tempoh masa 3½ hari sahaja, 
?Jalan Bkt Tajau – Bandar Pusat Jengka dalam masa 3-1/2 hari, manakala
?Jambatan Sg Bentong yang telah ditutup pada 11hb Jan 2015 akibat mendapan serius pada approach slab telah dibuka semula pada 15hb Jan 2015, iaitu; 4 hari sahaja.
 
Praktis sebeginilah yang sentiasa saya harapkan daripada semua warga JKR agar reputasi penyampaian perkhidmatan jabatan sentiasa cemerlang di mata awam.  Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, jabatan telah memohon peruntukan berdasarkan kos pembaikan akibat bencana banjir yang dianggarkan berjumlah RM832 juta setakat 15 Januari 2015. Peruntukan ini meliputi :
?RM13.8 juta untuk pembaikan segera cerun, 
?RM45 juta untuk pembaikan jalan rosak kritikal, 
?RM615.1 juta untuk lain-lain kerosakan jalan dan 
?RM158.1 juta lagi untuk pembaikan kekal jalan yang melibatkan keruntuhan cerun.  
 
JKR juga telah mengenalpasti kerosakan jalan di Jalan Negeri berjumlah RM180.99 juta serta kerosakan kepada bangunan awam yang lain seperti sekolah, kem tentera, balai polis, pusat kesihatan, kuarters dan masjid mencecah RM256.2 juta. Ini menjadikan keseluruhan anggaran kos pembaikan kerosakan infrastruktur akibat bencana baru-baru ini berjumlah RM1.28 bilion. 
 
JKR juga telah dipertanggungjawabkan untuk membina semula penempatan dan perumahan hampir 3000 mangsa banjir yang musnah atau rosak di Kelantan dengan peruntukan berjumlah RM105 juta. Projek ini perlu disiapkan dalam tempoh 3 bulan bagi memastikan kesan trauma semua mangsa dapat diringankan.
 
5.Selain daripada tugas-tugas pembaikan di kawasan-kawasan terjejas banjir, kewujudan Bilik Gerakan Bencana JKR dan Media Sosial JKR berganding bahu dilihat jelas telah memainkan peranan yang amat berkesan sebagai 
?salah satu pusat pangkalan data rujukan bencana untuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan diiktiraf oleh PM sendiri.
?Maklumat-maklumat status banjir dan penutupan jalan di seluruh Negara dipantau rapi oleh petugas-petugas BGB yang bekerja 24jam pada tahap 3 dan dikemaskini pada pelan-pelan secara manual dan juga pada peta lokasi di Portal Bencana JKR yang boleh di zoom in dan out untuk paparan lokasi banjir atau tanah runtuh. Ini membolehkan maklumat yang terkini disampaikan melalui Portal Bencana JKR dan menjawab panggilan-panggilan telefon dari pengguna.
?Perkongsian maklumat melalui laman media sosial rasmi JKR telah memainkan peranan yang besar dalam membantu menyampaikan maklumat yang sahih untuk rujukan pengguna bagi mengelak dari penipuan-penipuan siber. 
?Pengemaskinian informasi setiap 4 jam melalui Media Sosial begitu ditunggu-tunggu oleh pengguna dan mendapat bilangan likes yang amat tinggi sehingga ada post yang mencapai 80,000 tatapan.
?Laporan Status Jalan-jalan ditutup secara Paparan Matriks yang lebih ringkas dan mudah-baca yang dikeluarkan secara berkala dan ‘Breaking News’ bilamana berlaku perubahan kepada Status Jalan-jalan ditutup amat dinanti dan mendapat bilangan retweet yang tinggi.
?Rajah-rajah Laluan Alternatif juga telah dikeluarkan bagi membantu pengguna- pengguna jalanraya sehingga ramai telah menyatakan terima kasih di atas panduan ini.
?Admin Media Sosial JKR Malaysia dan JKR Negeri juga memainkan peranan yang aktif me-retweet laporan-laporan dan Jalan Alternatif sebaik sahaja ia dimuat naik dan menjadikannya viral menampakkan keseluruhan organisasi JKR bersatu hati. Ini telah membuat seorang peminat tegar media sosial menyatakan ‘Tidak percaya bahawa JKR seluruh negara begitu bersatu dalam menghebahkan maklumat berguna kepada orang awam’.
Dengan ini saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat di Bilik Gerakan Bencana sama ada daripada Cawangan Senggara Fasiliti Jalan selaku Urusetia Bilik Gerakan Bencana, Cawangan Kejuruteraan Cerun, Cawangan Fasiliti Bangunan dan Bahagian Komunikasi Korporat (BKK), yang telah bertungkus lumus bersama-sama memberikan informasi yang tepat dan terkini kepada pengguna. Anda telah menaikkan nama JKR di alam siber dan ini telah diakui oleh YAB Menteri Kerja Raya sendiri.
6.Memandangkan kepentingan Bilik Gerakan Bencana yang diwujudkan telah mendapat perhatian YBM, saya mahu CSFJ merangka kertas kerja bagi menaiktaraf Bilik Gerakan Bencana sedia ada kepada Bilik Gerakan yang informatif dan interaktif dengan teknologi terkini agar setiap maklumat yang diperolehi dapat dikemaskini dengan lebih efisen dan terkini. Pegawai-pegawai kita perlu dihantar melanjutkan pelajaran dalam bidang pengurusan bencana agar kita dapat meningkatkan lagi pengurusan bencana di peringkat JKR sekaligus dapat membantu MKN dalam usaha tersebut. Cerun-cerun perlu dipantau secara realtime. Taburan Hujan yang dipantau oleh stesyen-stesyen JPS boleh diintegrasi dengan BGB untuk ‘Disaster Prediction’ Laluan-laluan Kritikal seperti FT04 dan FT185 yang merentasi Banjaran Titiwangsa perlu dipantau secara menyeluruh dengan sensor-sensor untuk mengesan pergerakan tanah. Kita mempunyai kepakaran dengan adanya CKC dan Geoteknik. Semua maklumat ini diselaraskan oleh Bilik Gerakan Bencana Wajah Baru JKR dengan petugas rasmi sepenuh masa. Jika ini berjaya, JKR akan menjadi satu Agensi Pakar Rujuk Negara untuk menangani masalah-masalah bencana.
 
7.Selain tugas-tugas rasmi, seramai 190 warga JKR bersama pasukan KKR dan Puspanita telah mengusahakan beberapa siri misi kemanusiaan MERCY KKR-JKR menghantar bantuan berupa barang keperluan asas, wang ringgit dan tenaga pembersihan pasca banjir kepada mangsa-mangsa banjir di beberapa kawasan yang terlibat seperti di Pahang, Terengganu dan Kelantan. Para sukarelawan ini telah melalui jalan yang sukar untuk menyampaikan bantuan dan saya sangat terharu dengan usaha murni tersebut. Saya amat berharap agar kerjasama dan sikap positif di kalangan warga jabatan semasa bencana ini diteruskan dalam keadaan biasa untuk JKR melaksana dan menjayakan program-program Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti Negara berpandukan Kerangka Strategik 2012 – 2015 yang telah digariskan dengan 5 Tema Strategik. Saya difahamkan bahawa sijil penghargaan akan dberikan kepada semua sukarelawan yang terlibat melalui wakil yang telah dilantik pada hari ini. Syabas dan terima kasih saya ucapkan sekali lagi.
 
 
Tuan-tuan dan puan-puan saya kasihi sekalian,
 
PENCAPAIAN 2014 DAN PERANCANGAN 2015
 
PENSTRUKTURAN SEMULA JKR
 
8.Pada 1 Mei 2014, penstrukturan semula jabatan telah dikuatkuasakan setelah mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan pengedaran Waran Perjawatan K88 Tahun 2014 oleh Kementerian Kewangan. Penstrukturan semula ini antaranya melibatkan perubahan dari Project Based kepada Asset Based Organisation.
 
9.Apa yang kita harapkan daripada penstrukturan ini adalah perubahan sistem penyampaian projek daripada kaedah matriks kepada hybrid matriks dan ia juga dapat membantu aspek pengkhususan terhadap agensi pelanggan serta bisnes utama jabatan iaitu; 
a.      Pengurusan Projek, 
b.      Pengurusan Aset dan 
c.      Perundingan Teknikal. 
Penstrukturan ini juga diharapkan boleh memperbaiki nisbah HOPT : HODT daripada segi bilangan dan kepakaran serta membantu mengisi kekurangan sumber manusia di JKR Negeri dan Daerah dengan mewujudkan PMO Negeri, Unit Pengurusan Aset Negeri serta Unit Pendidikan Negeri.
 
10.Pelaksanaan penstrukturan ini bertujuan memantapkan peranan jabatan dalam menguruskan aset kerajaan daripada proses pengwujudan sehingga pelupusan. Tindakan ini juga bertujuan mewujudkan integrasi dan sinergi dalam aspek pengurusan projek dan pengurusan aset untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada agensi pelanggan dan rakyat. Warga kerja JKR juga mendapat faedah dalam aspek kenaikan pangkat dan juga dalam aspek pembangunan kerjaya iaitu pengwujudan lebih banyak jawatan J41 di sektor Pakar.
 
11.Pada tahun ini pula, Bahagian Dasar Sumber Manusia (BDSM) yang diberi nama baharu iaitu Bahagian Pembangunan Skim Kejuruteraan (BPSK) akan menilai dan mengkaji semula keberkesanan Pelan Pembangunan Sumber Manusia sedia ada  dengan menyediakan pelan baru yang selaras dengan kerangka strategik jabatan. Kita akan menambah baik dan memantapkan pengurusan bakat jabatan bagi menyediakan pelapis-pelapis yang kompeten ke arah Pelan Penggantian (Succession Plan) yang lebih sistematik dalam meneruskan kesinambungan bisnes JKR. Saya amat berharap agar pelaksanaan menyeluruh ini akan berjaya merealisasikan inspirasi JKR ke arah Pengurusan Sumber Manusia Berasaskan Kompetensi sepenuhnya. 
 
 
Tuan-tuan dan puan-puan saya kasihi sekalian,
 
TRANSFORMASI JKR
12.Semasa Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan JKR (SOC) 2014, kita telah didedahkan dengan beberapa konsep transformasi oleh agensi kerajaan yang lain seperti PEMANDU, Kementerian Kewangan Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Tujuan utama cadangan transformasi jabatan adalah untuk kita menentukan peranan jabatan menjelang tahun 2020.
 
13.Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, dalam dokumen UPE (EPU) Garis Panduan Penyediaan Rancangan Malaysia Kesebelas 2016 – 2020 yang merupakan Rancangan Malaysia terakhir sebelum mencapai status negara maju, saya dapati JKR telah diberi peranan utama di peringkat Penyediaan Projek Pembangunan. JKR akan terlibat dalam membantu pelanggan bagi memastikan Kesediaan Projek (Project Readiness) yang mana ianya telah menjadi syarat WAJIB sebelum dikemukakan kepada UPE (EPU). Khidmat kepakaran JKR khususnya dalam membuat penilaian tapak berpandukan Pekeliling UPE, JPM Bil. 2 tahun 2009 juga akan diperlukan. Walaupun perkara ini memang ada dalam RMK10 tetapi pihak EPU memaklumkan pemakaian Pekeliling ini akan dikuatkuasakan dalam semua perancangan projek-projek baharu RMK11.
 
14.RMK11 juga menyaksikan kemestian menggunakan Pre-Approved Plan (PAP) yang disediakan oleh jabatan dalam usaha mempercepatkan pelaksanaan projek. Sehubungan itu, saya ingin menekankan bahawa transformasi yang sebenarnya diperlukan adalah transformasi dalaman kita. 
1)Kerajaan, dalam RMK11, telah meletakkan harapan dan kepercayaan kepada jabatan untuk terus menjadi agensi teknikal negara yang terunggul dengan menganjakkan JKR ke satu tahap yang lebih tinggi dan mengiktiraf peranan kita untuk membantu kerajaan dalam Asset Creation dan Project Readiness. 
2)Sekiranya kita dapat memainkan peranan baru ini secara efektif dan efisien disamping memantapkan peranan sedia ada sebagai agensi pelaksana, saya yakin dan percaya JKR “will survive”.  
3)Pada masa yang sama, kita perlu merangka satu strategi yang mantap bagi memastikan JKR dapat memainkan peranan yang berkesan dalam pelaksanaan RMKe-11 bagi mencapai hasrat kerajaan ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi. 
“The Transformation ball is now at our feet – we determine our destiny”
 
Hadirin dan hadirat yang saya kasihi sekalian,
 
STATUS PROJEK RMK10
 
15.Sehingga 31 Disember 2014, jabatan telah melaksanakan sebanyak 5,069 projek dalam RMK10;
a. yang mana 448 projek (9 peratus) masih dalam peringkat pra-pembinaan, 
b.368 projek (7 peratus) sedang dibina  dan;
c. sebanyak 4,280 projek (84 peratus)  telah berjaya disiapkan. 
 
16.Sebanyak 2,488 projek akan dilaksanakan pada tahun ini yang bakal melibatkan;
a. 620 projek baru 
b.dan 1,868 projek sedia ada daripada tahun 2014. 
 
17.Jumlah kos projek keseluruhan bagi tahun 2015 adalah sebanyak RM240 billion
a.sebanyak RM212 bilion meliputi projek sedia ada 
b.selebihnya (RM28b) untuk projek baru. 
18.Jumlah keseluruhan kos tunai bagi tahun ini pula adalah sebanyak RM34 bilion yang merangkumi sebanyak 
a.RM29.4 bilion bagi projek sedia ada 
b.RM4.2 bilion bagi projek baru.
 
19.Pada tahun ini juga, sebanyak 490 pembinaan baru akan dilaksanakan oleh jabatan untuk 20 kementerian negara ini dengan jumlah keseluruhan kos projek sebanyak RM16.8 bilion dan kos tunai sebanyak RM3.2 bilion. 
 
20.Kementerian Pelajaran mempunyai projek paling banyak iaitu 157 projek dengan kos RM1.2 bilion dan kos tunai RM0.5 bilion. 
Saya mengharapkan agar jabatan kita berupaya menyiapkan kesemua projek yang telah dirancang sepanjang tahun ini dengan cemerlang demi sebagaimana cemerlangnya kita menangani masalah bencana.
Tuan-tuan dan puan-puan saya kasihi sekalian,
 
PERPINDAHAN KOMPLEKS KERJA RAYA (KKR2)
 
21.Seperti yang kita semua sedia maklum, bangunan Kompleks Kerja Raya (KKR2) telah siap dibina yang mana pihak kontraktor telah diberi Certificate of Partial Occupation (CPO) bertarikh 7 November 2014 dengan memberi kebenaran kepada jabatan untuk menduduki tingkat empat (4) hingga 32 manakala tingkat selebihnya sedang disiapkan. 
 
22.Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE), Cawangan Kerja Kesihatan (CKK), Cawangan Kejuruteraan Mekanikal (CKM) dan Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur (CKAS) yang menyewa di Mid Valley City serta Cawangan Pengurusan Korporat (CPK) yang sebelum ini terletak di bangunan lama JKR telah berpindah ke KKR2 mulai 13 Oktober sehingga 9 Disember 2014. Cawangan-cawangan selebihnya akan berpindah juga tahun ini dan setiap tingkat bangunan KKR2 termasuk kantin serta lot parkir bakal beroperasi sepenuhnya pada bulan Mac 2015.
 
23.Kompleks KKR2 ini adalah satu projek perintis yang mematuhi Indeks Bangunan Hijau (GBI) dalam usaha jabatan memacu kelestarian pembangunan, Cawangan Alam Sekitar dan Kecekapan Tenaga (CAST) telah membangunkan Skim Penarafan Hijau JKR yang mana 80 peratus projek pembangunan baru JKR perlu mematuhi skim tersebut. 
a.Ini adalah perkembangan positif dalam menyokong Dasar Teknologi Hijau Kebangsaan yang bermatlamatkan penerapan teknologi hijau dalam budaya Malaysia dengan mengurangkan penggunaan sumber secara keseluruhan 
b.Di samping mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara. Penggunaan teknologi hijau juga bertujuan untuk memastikan pembangunan mapan dan pada masa yang sama, memulihara alam sekitar untuk generasi akan datang. 
 
Sehubungan itu, adalah menjadi harapan saya semoga semua pegawai dan kakitangan yang berpindah ke bangunan baru ini mematuhi ketetapan yang telah disyaratkan agar penarafan GBI untuk KKR2 dapat dikekalkan dan pada masa yang sama, menjamin keselesaan kepada semua pengguna. 
 
 
PENUTUP
24.Sebelum saya mengakhiri ucapan pagi ini, saya ingin menyampaikan salam takziah kepada warga jabatan terutamanya yang bertugas di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak serta ahli keluarga tuan-tuan dan puan-puan yang terlibat dengan banjir hujung tahun lalu. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Apa yang mampu saya sebutkan di sini, semoga tuan-tuan dan puan-puan tabah menghadapi dugaan yang berlaku dan marilah kita sama-sama mendoakan agar segala kesabaran dalam menghadapi kesukaran yang sedang berlaku ini diberi ganjaran dan Rahmat dari Allah swt yang setimpal dengan kesabaran yang telah ditunjukkan dalam dugaan. 
 
25.Selain itu, sekali lagi saya merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua warga JKR yang bertungkus lumus memberikan perkhidmatan terbaik tidak kira di lapangan dan juga di pejabat dalam menghadapi bencana yang menimpa negara. Hanya Allah yang mampu membalas jasa murni tuan-tuan dan puan-puan. Juga syabas untuk prestasi keseluruhan jabatan sepanjang tahun dan besar harapan saya sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya agar jabatan ini terus cemerlang dalam pengurusan projek, pengurusan fasiliti dan perundingan teknikal, insya Allah.
 
26.Akhir kata, tidak kira di mana tuan-tuan dan puan-puan berada, bekerjalah dengan jujur, ikhlas dan amanah dalam melaksanakan pekerjaan masing-masing. Sama-samalah kita meningkatkan integriti diri dan sentiasalah memelihara aspek tadbir urus yang utuh dengan bersulamkan sifat rendah diri tanpa menuntut ganjaran wang ringgit, pangkat atau kedudukan. Keluhuran peribadi yang ada pada setiap warga JKR akan melonjakkan bukan sahaja imej jabatan tetapi juga perkhidmatan awam. 
 
Kodok Menyanyi Monyet Bergayut
Ikan Melompat Ke dalam Dulang
Hiduplah Berjasa Kepada Rakyat
Bukan Parasit Menyusahkan Orang
 
Pohon Gaharu Wanginya Bau
Juragan Tenang Bahtera diKemudi
Tahun Baru Semangat Pun Baru
Teruskan Azam Menabur Bakti
 
27.Selamat Tahun Baru 2015, Selamat Maju Jaya, SALAM 1MALAYSIA.
 
Sekian, wabillahi taufik walhidayah wa ssalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Related Posts