Date: Khamis, September 14, 2017

Majlis Penyerahan Projek Balai Polis di Taman Bayu Damai, Pengerang telah diadakan pada 12 September 2017.

Majlis menandatangani sijil penyerahan projek dan penyerahan replika kunci di antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) ini telah disempurnakan bersama oleh YBrs. Tuan Ahmad Yazid Bin Hamdan, Penolong Setiausaha KDN  dan YBrs. Ir. Mat Rosly Mat Daud, Pengarah Pembinaan Pasukan Projek Khas (PIPC). Majlis turut disaksikan oleh YBrs. Ir. Hilmi Md Tahir, Pengurus Besar Pembinaan, Pasukan Projek Khas (PIPC) dan DSP Mohamed Sazif Bin Mohamed Subri, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi.

Penyerahan Projek Balai Polis Taman Bayu Damai ini merupakan satu lagi kesinambungan pencapaian pembangunan projek-projek yang dilaksanakan oleh JKR di kawasan pembangunan Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC) dalam usaha untuk menyediakan keperluan infrastruktur dan kemudahan awam di kawasan Pengerang. Di samping itu, penyediaan kemudahan pejabat kepada warga PDRM amat penting untuk mengawal keselamatan di kawasan pembangunan PIPC.

Setinggi-tinggi penghargaan dizahirkan kepada pihak KDN, PDRM, JKR, JPDC dan juga pihak Kontraktor  serta semua pihak yang terlibat dalam memberikan kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menjayakan pelaksanaan Pembinaan Balai Polis Taman Bayu Damai. Semoga projek ini membantu pihak PDRM untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk manfaat komuniti sekitarnya.