Date: Jumaat, April 1, 2016
Majlis Penyampaian Surat Setuju Terima ini telah diadakan pada 1 April 2016, pada jam 11. 00 pagi bertempat di Ruang Rehat, Aras 2, Menara Kerja Raya. YBhg. Datuk Ir. Haji Adanan Mohamed Hussain, Ketua Pengarah Kerja Raya telah menyampaikan sendiri Surat Setuju Terima kepada kontraktor-kontraktor yang berjaya memperolehi pelawaan projek oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Majlis Penyerahan SST pada hari ini merupakan kali ketiga bagi tahun 2016 dan melibatkan 17 projek. Daripada jumlah tersebut, 9 merupakan projek bangunan, 3 projek jalan, 1 projek jambatan, 3 projek penyenggaraan dan 1 projek pemasangan sistem.
YBhg. Datuk KPKR turut menyampaikan amanat dan harapan beliau kepada syarikat-syarikat yang berjaya ini agar:
• Pihak kontraktor dapat memberikan perkhidmatan yang bermutu dan berkualiti setanding dengan keuntungan yang diperolehi.
• Kerja yang dijalankan haruslah mengikut spesifikasi sepertimana yang terkandung dalam kontrak kerja.
• Perlu bekerjasama dan mempunyai hubungan baik dengan JKR serta sentiasa berkomunikasi dengan pihak JKR agar projek dapat dilaksanakan dengan sempurna.
• Mematuhi setiap peraturan dan prosedur keselamatan yang telah digariskan.
• Menghargai dan mempunyai rasa memiliki (sense of ownership) akan projek tersebut.
- 666 bacaan