Date: Rabu, April 6, 2016
YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusuf, Menteri Kerja Raya telah menyempurnakan majlis flag off Jambatan Bertingkat Bayan Lepas pada hari ini (6 April 2016) jam 9.00 pagi bertempat di tapak projek BLE. Turut hadir ialah YBhg.Datuk Ir. Haji Adanan Bin Mohamed Hussain, Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Abdul Razak Bin Jaafar, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (Dasar dan Pembangunan), YBhg. Dato’ Ir. Dr. Roslan Bin Md Taha, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), Ir Salleh bin Awang, Pengarah Kerja Raya Negeri Pulau Pinang dan Encik Mohd Razin Ghazali, Pengarah Urusan UEM Builders Berhad (UEM Builders).
 
Projek Bayan Lepas Expressway (BLE) adalah salah satu daripada empat projek yang dicadangkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jambatan Sultan Abdul Halim Muad'zam Shah menjelang 2016.
 
Empat projek yang terlibat dalam menambah baik BLE bermula dari bridge exit, menaik taraf jalan negeri dari Batu Maung ke Jalan Sultan Azlan Shah, menaik taraf jalan persekutuan dari Teluk Kumbar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas dan membina jambatan merentasi simpang Batu Maung (cum roundabout).
 
Projek lebuh raya ini dibahagikan kepada dua (2) komponen utama, iaitu struktur bertingkat sepanjang 3.2km dan jalan sepanjang 4.2km. Struktur bertingkat meliputi dua hala 4 lorong. Panjang salah satu rentang utama jambatan ini adalah 170 meter, dibina menggunakan Cast-In-Situ Segmental Box Girder (SBG) dan merupakan keistimewaan projek jambatan ini.
 
Pembukaan struktur bertingkat sepanjang 3.2 kilometer (km) ini adalah mengikut jadual dan ianya merupakan sebahagian daripada inisiatif penguraian trafik dan membantu mengurangkan kesesakan lalulintas di antara Batu Maung dan Sungai Nibong (Queensbay).
 
Sesungguhnya, projek ini amat memberi manfaat dan kemudahan kepada rakyat dan seharusnya digunakan dengan sebaik-baiknya. JKR berasa amat berbangga kerana terlibat secara langsung dalam merealisasikan projek ini. Sekali lagi, JASA KEPADA RAKYAT.