Date: Selasa, Disember 20, 2016
19 Disember 2016 - Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan  bin Md Taha telah mengadakan lawatan ke JKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada program Lawatan Dato’ Sri KPKR  ke ‘1 Negeri, 1 Daerah’ di seluruh negara pada tahun ini. 
 
Program lawatan ini bertujuan untuk beramah mesra dan mengeratkan hubungan, di samping untuk menyampaikan amanat kepada warga JKR. Program bermula sekitar jam 10.45 pagi dengan ketibaan YBhg. Dato’ Sri KPKR di Pejabat JKR WPKL diiringi oleh YBhg. Dato' Ir. Hj. Mohd Jamal bin Sulaiman, Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat JKR Malaysia, YBrs.Ir. Mejar Suhaizad bin Hj. Sulaiman, YM Ir. Raja Fairol Farouk bin Raja Abd Assiss dan En. Nik Muhammad Hafiz bin Nik Ab Rashid, Pegawai-pegawai Khas KPKR. Rombongan Dato’ Sri KPKR telah disambut oleh YBrs.Ir. Hj. Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Pengarah JKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan juga seluruh kakitangan JKR WPKL.
 
Program dimulakan dengan Taklimat ringkas berkaitan dengan aktiviti dan projek di JKR WPKL disampaikan oleh Pengarah JKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seterusnya penyampaian amanat kepada kakitangan JKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur oleh YBhg. Dato’ Sri KPKR. Antara amanat yang disampaikan adalah:
 
-YBhg. Dato' Sri KPKR berbangga dengan pencapaian JKR WPKL kerana berjaya menyiapkan projek 3 dalam 1 sebanyak 11 bilangan projek dimana ini menunjukkan semangat kerja berpasukan yang tinggi dikalangan warga kerja JKR WPKL yang mana ini merupakan KPI yang telah ditetapkan oleh YBhg. Dato' Sri KSU Sekurang-kurangnya 50% dari jumlah projek yang siap mestilah siap bersama dengan 3 dalam 1 iaitu Sijil Perakuan Siap Kerja, Lukisan Siap Terbina (as-built drawing) dan juga Sijil Perakaun Muktamad (Statement of Final Account).
 
-YBhg. Dato' Sri KPKR juga menekankan bahawa matlamat utamanya adalah untuk menaikkan semula imej JKR seperti ditahun 70an dan 80an dan memaklumkan semasa Majlis Perasmian Menara Kerja Raya oleh YAB Perdana Menteri telah mengucapkan syabas dan tahniah kepada JKR yang telah berjaya membina menara yang menjadi ikon dan kebanggaan kepada negara begitu juga semasa YAB Perdana Menteri merasmikan Jambatan Batang Sadong di Sarawak, beliau juga telah memuji dan menyanjung JKR di dalam melaksanakan projek infrastruktur negara.
 
-Kementerian Kewangan telah mengeluarkan Surat Arahan Pelaksanaan Pre Approved Plan (PAP) dimana telah menetapkan keperluan untuk semua Agensi Kerajaan menggunakan Pre-Approved Plan (PAP) bagi bangunan Kerajaan yang telah disediakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk projek RMKe-11.Syarat ini adalah mandatori untuk dipatuhi oleh semua Agensi Kerajaan.
 
-YBhg. Dato' Sri KSU telah menetapkan bilangan projek yang mempunyai EOT tidak melebihi 30% dimana hanya 4 fasal sahaja yang boleh diluluskan EOT.
 
-Pengurusan JKR dan KKR yang ada sekarang mempunyai barisan kepimpinan dan semangat kerja berpasukan yang baik dan ini diakui oleh KSU Kementerian Kerja Raya di mana aduan daripada Kementerian pelanggan adalah berkurangan pada masa ini dan YBhg. Dato' Sri KPKR menyarankan agar warga JKR meningkatkan lagi usaha dalam memantapkan lagi pencapaian JKR.
 
- YBhg. Dato' Sri KPKR telah menyarankan agar JKR menggunakan teknologi-teknologi yang baru. JKR telah memperkenalkan beberapa teknologi baru di antaranya teknologi pembinaan jambatan tanpa tiang intermediate. Ini telah dibuktikan semasa lawatan YB Menteri Kerja Raya ke projek pembinaan Jambatan di daerah Grik Perak di mana pembinaan jambatan tersebut tanpa tiang sepanjang 100 meter dan ini dapat mengurangkan kos senggaraan yang terlibat.
 
- Tempoh bayaran kemajuan samaada bayaran tuntutan elaun, kemudahan dan bayaran kepada Pegawai Pengurusan dan Profesional, Kumpulan Sokongan dan juga tuntutan bayaran kontraktor, pembekal dan sebagainya hendaklah di dalam tempoh 7 hari.
 
- Arahan perpindahan yang dikeluarkan haruslah dipatuhi oleh setiap pegawai kerana sekiranya dipindahkan pegawai yang terlibat akan dapat menambah ilmu pengetahuan di tempat yang baru begitu juga dapat meningkatkan kompetensi pegawai yang terlibat.
 
-Melaksanakan kerja dan tugasan yang diberikan dengan baik dan berintegriti, iaitu; mengikut kontrak, spesifikasi dan juga mematuhi SOP yang telah ditetapkan, mendokumentasikan segala proses kerja dan sebaik-baiknya setiap keputusan atau tindakan yang diputuskan seharusnya dibuat dalam bentuk jawatankuasa. Mana-mana kerja yang dilaksanakan tidak mengikut spesifikasi hendaklah diberikan amaran secara bertulis ataupun lisan kepada kontraktor dan pegawai bolehlah memaklumkan kepada Jurutera Daerah ataupun Pengarah sekiranya amaran tersebut tidak diterima oleh pihak yang terlibat.
 
-Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pelajaran telah berbincang dan bermesyuarat untuk melaksanakan projek-projek di bawah kategori sekolah daif. YAB Perdana Menteri telah mengumumkan di dalam belanjawan pada bulan Oktober 2016 yang lalu di mana sebanyak 30 buah akan dibina di Negeri Sarawak dan Sabah manakala 60 buah lagi di Semenanjung. JKR WPKL diminta bersedia dan diminta projek tersebut dapat dilaksanakan segera sebaik senarai sekolah-sekolah tersebut diumumkan kelak. Arahan telah dikeluarkan di mana projek ini perlu disiapkan dalam tempoh 2 bulan sahaja.
 
-Kemesraan perlu diwujudkan dengan media dengan memberi input dari segi aspek teknikal tetapi hendaklah dikawal dengan tidak menyentuh mengenai dasar dan polisi jabatan.
 
-Unit Pelaksanaan Projek Awam (UPPA) telah ditubuhkan di ICU JPM dimana unit ini akan melaksanakan projek-projek bangunan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan secara tidak langsung projek di bawah cawangan Kerja Bangunan Am 1 akan berkurangan dan mulai pada tahun 2017 projek -projek di bawah JPM akan dilaksanakan oleh UPPA.Pihak pengurusan akan mengkaji semula penempatan di CKBA 1 ini dan ada pegawai yang terlibat akan dibawa kepada CKBA 2 dan cawanagan-cawangan lain yang kekurangan staff.
 
Lawatan kerja YBhg. Dato' Sri KPKR diakhiri dengan lawatan ke projek Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur. Semoga Program Lawatan oleh Dato’ Sri KPKR ini akan meningkatkan hubungan dan persefahaman semua warga JKR demi mengembalikan kegemilangan JKR.