Majlis menghargai jasa bakti YBhg. Dato’ Ir. Dr. Haji Hasnul bin Mohamad Salleh TKPKR (Sektor Infra) telah diadakan pada 9 Mac 2017, jam 3.00 petang bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid dan dihadiri oleh tetamu kehormat iaitu YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusuf, Menteri Kerja Raya dan diiringi oleh YBhg. Datuk Haji Sarani bin Dollah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kerja Raya, Pegawai-Pegawai Pengurusan Tertinggi KKR, JKR dan agensi dibawahnya serta Pegawai-Pegawai Kanan JKR.
Majlis dimulakan dengan persembahan multimedia sempena persaraan tetamu yang diraikan YBhg. Dato’ Ir. Dr. Haji Hasnul bin Mohamad Salleh TKPKR (Sektor Infra). Majlis diteruskan dengan ucapan penghargaan oleh YBhg. Dato’ Ir. Haji Mohd Fazli bin Osman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar) mewakili YBhg. Ketua Pengarah Kerja Raya JKR Malaysia, dan disusuli dengan penyampaian cenderahati kenang-kenangan kepada YBhg. Dato’ Ir. Dr. Haji Hasnul bin Mohamad Salleh TKPKR (Sektor Infra).
Usai penyampaian cenderahati, tibalah acara yang dinantikan, iaitu ucapan oleh tetamu yang diraikan, YBhg. Dato’ Ir. Dr. Haji Hasnul bin Mohamad Salleh TKPKR (Sektor Infra). Beliau menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan oleh YB Menteri Kerja Raya, YB Timbalan Menteri Kerja Raya, serta seluruh pengurusan atasan JKR, KKR dan agensi dibawahnya. Beliau turut memberikan pesanan kepada warga JKR supaya berani mengambil risiko dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan, teliti, memahami dan memperlengkapkan diri dengan 4 bahasa ; Bahasa Kontrak, Bahasa Teknikal, Bahasa Peundangan dan Bahasa Kewangan agar setiap projek dapat disiapkan dengan lancar.
Beliau juga menasihati terutamanya jurutera-jurutera muda untuk giat berusaha memperolehi kelayakan profesional demi kecemerlangan kerjaya. Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh tenaga kerja JKR dan warga Jabatan Bekalan Air (JBA) yang telah memberikan kerjasama dan bantuan sepanjang perkhidmatan beliau di JKR dan JBA selama 34 tahun. Sepanjang berkhidmat selama 34 tahun, beliau telah ditempatkan diantaranya di Cawangan Kerja Tentera, Melaka, Cawangan Bekalan air Ibu Pejabat JKR, Kementerian Tenaga, Air dan komunikasi Malaysia, Cawangan Kejuruteraan Senggara, Ibu Pejabat JKR Malaysia dan Cawangan Jalan Ibu Pejabat JKR Malaysia.
Selamat bersara dan selamat maju jaya diucapkan kepada YBhg. Dato’ Ir. Dr. Haji Hasnul bin Mohamad Salleh TKPKR (Sektor Infra) dan setinggi-tinggi ucapan terima kasih di atas segala sumbangan dan jasa bakti yang dicurahkan selama berkhidmat. Semoga beliau dan keluarga akan sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera dan sentiasa dirahmati Allah.
- 1598 bacaan