Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya telah diadakan pada 25 Januari 2018, Khamis bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya. Perhimpunan bulanan ini telah dihadiri oleh warga Kementerian dan Agensi-Agensi di bawahnya. YB Dato’ Sri memulakan ucapan dengan mengucapkan setinggi – tinggi terima kasih atas sumbangan semua warga kerja dalam melaksanakan tugas dan menyumbang kepada kejayaan kementerian dan agensi sepanjang tahun 2017. Selain itu, menginjak ke tahun 2018 di mana YAB Perdana Menteri telah mengisytiharkan tahun 2018 sebagai TAHUN KEJAYAAN DAN KEBERHASILAN YANG MENGAGUMKAN atau YEAR OF SUCCESS AND IMPRESSIVE RESULT. Penekanan yang diberikan adalah warga kerja raya meneruskan kejayaan dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, selain meningkatkan nilai dan kemahiran termasuk menghasilkan kualiti kerja yang bertaraf global, produktiviti yang sentiasa bertambah serta mengamalkan budaya kreatif dan inovatif.
Antara intipati ucapan YB Menteri Kerja Raya;
1. Sudut Ekonomi :
KDNK suku ketiga tahun 2017 - Mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan pada kadar 6.2% berbanding pertumbuhan 4.3% pada suku ketiga tahun sebelumnya.
Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia - memuji pertumbuhan ekonomi Malaysia yang begitu memberangsangkan serta pengurusan ekonomi berhemat oleh Kerajaan, selain mengakui bahawa daya tahan dan daya saing ekonomi negara telah diperkukuhkan.
World Economic Report Global Competetiveness Index 2017-2018 – Malaysia disenaraikan di tangga ke-23 dari 137 negara yang dinilai.
2. Kedudukan Kewangan Kerajaan Persekutuan
Sehingga akhir Jun 2017, hutang Kerajaan Persekutuan adalah pada paras 50.9% daripada KDNK, yang mana ia masih di bawah paras had yang ditetapkan Kerajaan iaitu 55% daripada KDNK iaitu berkurang berbanding 53.2% pada akhir Jun 2016.
3. Petunjuk Pestasi Utama 2017 (KPI)
Penghargaan kepada semua pegawai - pegawai kementerian dan agensi kerana telah capai sasaran KPI sebanyak 110% sehingga 31 Disember 2017.
4. Penyempurnaan Projek berimpak tinggi
Terdapat enam (6) projek yang tersenarai seperti berikut ;
(i) Jalan Pintas Rawang (Rawang by Pass);
(ii) Pembinaan projek 20 sekolah daif menggunakan kaedah IBS iaitu di Johor (4 buah), Melaka (4 buah), Negeri Sembilan (5 buah) dan Pahang (6 buah);
(iii) Jambatan Batang Sadong Sarawak;
(iv) Pembinaan sebanyak 1227 buah rumah kekal untuk mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak;
(v) Penggunaan teknologi baru CupLump Modified Asphalt (CMA) bagi pembinaan Lebuhraya Kota Baharu ke Kuala Krai, Kelantan;
(vi) Projek Membaikpulih dan Menaiktaraf Bangunan Parlimen Malaysia (Fasa 2B);
5. Bajet 2018
KKR telah menerima peruntukan sebanyak RM5.768 bilion dan pecahan adalah seperti berikut;
i) Belanja Mengurus - RM2.004 bilion
ii) Belanja Pembangunan - RM3.764 bilion
6. Projek pembangunan khusus berkaitan dengan KKR yang diumum oleh YAB PM dalam pembentangan bajet 2018 adalah seperti berikut;
- Menyediakan jalan alternatif ke Pelabuhan Klang (RM110 juta);
- Lebuhraya Persisiran Pantai Barat dari Banting ke Taiping sedang dibina (RM5 bilion);
- Projek Central Spine Road - antaranya pakej jajaran Raub ke Bentong dan jajaran Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Pahang (RM230 juta);
- Lebuhraya Pan-Borneo (RM2 bilion);
- Pembaikan dan penyelenggaraan sekolah-sekolah daif melalui kaedah Industrial Building System (RM2.5 bilion untuk tempoh 2 tahun) iaitu RM500 juta di Semenanjung Malaysia, RM1 bilion di Sabah dan RM1 bilion di Sarawak;
- Memansuhkan kutipan tol di empat plaza tol iaitu di Batu Tiga, dan Sungai Rasau, Selangor; Bukit Kayu Hitam, Kedah; dan di Lebuh raya Eastern Dispersal Link, Johor.
Selain Lebuhraya WCE, terdapat lima (5) projek lebuhraya dan satu (1) persimpangan bertingkat sedang dalam pembinaan pada tahun 2018 seperti berikut;
- Lebuhraya Lembah Kelang Timur (EKVE) sepanjang 36.16km dengan kos RM1.551 bilion bermula dari Lebuhraya SILK hingga ke MRR2 di UK Perdana yang kini sudah 32% pembinaannya dan dijangka siap pada September 2019;
- Lebuhraya Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE) sepanjang 31.8km dengan kos sebanyak RM5.272bilion bermula dari Lebuhraya Shah Alam (KESAS) hingga ke Ukay Perdana. Pembinaan sudah mencapai 24.18% dan dijangka siap pada Ogos 2020.
- Lebuhraya Damansara - Shah Alam (DASH) bermula di Persimpangan Puncak Perdana dan berakhir di Damansara Perdana (Penchala Link) sejauh 20.1km dengan kos sebanyak RM4.178 billion. Pembinaan setakat ini sudah mencapai 22.32% dan dijangka siap pada Ogos 2020.
- Lebuhraya Putrajaya – KLIA (MEX 2) menghubungkan Persimpangan Putrajaya dan Lebuhraya KLIA sepanjang 16.8km dengan kos sebanyak RM1.25 billion. Pembinaan telah pun mencapai 35.52% dan dijangka siap pada Oktober 2019.
- Lebuhraya Setiawangsa Pantai (SPE) atau lebih dikenali sebagai DUKE 3 bermula di Persimpangan Kerinchi (SPRINT) dan berakhir di Persimpangan Melati (di MRR2) sejauh 32.0km dengan kos sebanyak RM3.573 billion. Lebuhraya SPE dijadualkan siap pada November 2020 dimana sekarang ini sudah mencapai pembinaan 18.18%.
- Persimpangan Bertingkat dan Plaza Tol Ampar Tenang di KM35 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dengn kos sebanyak RM91.6 juta dan dijangka siap pada Oktober tahun ini.
7. Pelaksanaan Projek Sekolah Daif
Projek touch point kepada rakyat dan pelaksanaan segera oleh JKR. Sebanyak 418 buah sekolah yang terlibat pada tahun 2018 dengan pecahan seperti berikut;
i) Semenanjung - 180 buah
ii) Sabah – 109 buah
iii) Sarawak – 129 buah
Program ini melibatkan penggantian bangunan lama yang uzur dan usang serta bangunan yang terlibat dengan banjir.
8. Pemansuhan Kutipan Tol
Dengan pemansuhan kutipan tol di Plaza Tol Sg. Rasau dan Batu Tiga di Selangor, dan Bukit Kayu Hitam, di Kedah membuktikan keprihatinan Kerajaan dalam mengurangkan kos sara diri dan meningkatkan kualiti hidup rakyat khususnya di Negeri Selangor, Kedah dan Johor.
9. Radio Frequency Identification (RFID)
Bermula 14 Ogos 2017, LLM telah melaksanakan pilot project di 49 Plaza tol di 18 lebuhraya yang terletak di Lembah Klang dan penggunaan teknologi RFID ini hanya terhad kepada kenderaan yang dikecualikan dari bayaran tol seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia selain sistem ini turut diuji oleh kenderaan rasmi LLM dan kenderaan penyelenggaraan syarikat konsesi. Penggunaan teknologi ini bakal menyediakan satu lagi alternatif kaedah bayaran tol kepada pengguna lebuh raya. RFID akan dilaksanakan secara berperingkat setelah mendapat kelulusan dasar daripada Kerajaan.
10. Insentif kepada Penjawat Awam
Dalam bajet 2018, kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif antaranya;
- Pemberian insentif dan penambahbaikan skim perkhidmatan awam termasuklah kenaikan pangkat berasaskan masa kali kedua untuk Kumpulan Pelaksana, Waktu Kerja Fleksi bagi pakar perubatan, penambahan Waktu Kerja Berperingkat, pemberian Cuti Tanpa Rekod untuk menunaikan umrah dan peningkatan pencen terendah kepada RM1,000 untuk mereka yang berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun;
- Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,500 bagi penjawat awam dan RM750 untuk pesara kerajaan;
- Penjawat wanita lantikan tetap dan kontrak yang mengandung 5 bulan dan ke atas dibenarkan pulang satu 1 jam lebih awal daripada masa bekerja biasa. Manfaat sama turut dinikmati suami yang bekerja di lokasi berdekatan.
11. Industri Pembinaan Negara
Bank Negara Malaysia melaporkan pada tahun 2017, industri pembinaan mencatatkan pertumbuhan 6.1% kepada KDNK negara. Pertumbuhan positif industri pembinaan pada tahun 2018 akan membabitkan semua projek awam dan swasta dalam kerja infrastruktur, pembinaan awam dan bangunan kediaman serta bukan kediaman. Bagi projek awam, jangkaan pertumbuhan industri akan dipacu melalui projek seperti kerja menaik taraf sekolah daif, rangkaian Rel Berkelajuan Tinggi (HSR), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR), Lebuhraya Persisir Pantai Barat dan lain-lain.
12. Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020
Di bawah Teras Produktiviti, Kerajaan akan Mewajibkan Penggunaan Kaedah IBS sebagai salah satu syarat kelulusan Pelan Bangunan Oleh Pihak Berkuasa Tempatan untuk mewajibkan penggunaan IBS bagi projek swasta bernilai RM50 juta dan ke atas dengan tahap minimum pengiraan skor IBS yang ditetapkan adalah sebanyak 50 Skor IBS.
Selain itu, di bawah Teras Produktiviti juga, penggunaan kaedah Building Information Modelling (BIM) dalam perancangan projek pembinaan akan mengatasi pelbagai masalah yang sering dihadapi industri pembinaan konvensional, seperti projek lewat jadual dan pembaziran bahan binaan. Bagi projek pembinaan lebuh raya pula, kementerian sedang membangunkan Highway Information Modelling (HIM) yang akan mengintergasikan BIM dan Geospatial Information System (GIS) dalam fasa reka bentuk lebuh raya.
Pembangunan sistem pengurusan aset yang akan mengabungkan Computerised Maintenance Management System (CMMS) dan Highway Deterioration Management System (HDMS) bagi fasa penyelenggaran lebuh raya juga akan bermula pada tahun 2019.
13. Penutup
Di akhir amanat, YB Menteri Kerja Raya menyeru semua warga kerja raya untuk sama – sama berjuang bagi mengekalkan kestabilan Negara bagi menjamin semua yang dicapai sekarang ini akan terus kekal. Selain itu, dengan kehadiran lambakan teknologi gajet dan alam maya media sosial warga kerja dimohon bersama-sama menyebarkan kebaikan, mencapai delivery dan usaha-usaha murni yang telah sekian banyak dilakukan oleh kerajaan demi kemaslahatan rakyat, selain, menangkis segala ‘perang persepsi’, propaganda dan tohmahan songsang yang dilemparkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab di media-media sosial. Bertepatan dengan konsep tabayyun, warga kerja Kementerian haruslah menyelidiki dahulu sesuatu berita dengan teliti, sebelum mempercayai dan membuat keputusan untuk menularkannya.
Perhimpunan Bulanan ditangguhkan pada jam 10.15 pagi.
- 2897 bacaan